ALOR SETAR – Pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya Perdana Menteri akan datang seharusnya berumur di bawah 70 tahun bukan sekadar kata-kata biasa.
Sebaliknya, Perwakilan Pemuda Pas, Mohd Faizuddin Mohd Zai berkata, ia merupakan isyarat besar; isyarat perdana dan isyarat penting untuk difahami serta difikirkan ahli-ahli Pas bahawa Perdana Menteri akan datang perlu lahir dan digalas oleh pemimpin parti tersebut.
Menurut beliau, ahli-ahli Pas kini mengharapkan Muktamar Pas Pusat kali ini berakhir dengan kekuatan lebih hebat untuk Pas memperkasakan Perikatan Nasional (PN) dan bangkit menyingkirkan Pakatan Harapan (PH) dan segelintir pemimpin UMNO yang berada di Putrajaya.
“Hari ini orang lihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju jelas dan hilang fokus.
“Maka, bermuktamarnya kita hari ini, untuk merejuvinasikan PN, memberi nafas baharu dan menyedarkan rakyat bahawa kita sedia memimpin rakyat dan negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul memperkasakan PN pada Muktamar Pas kali ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini, hari ini.
Semalam, Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 menegaskan, beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.
Malah, kata Abdul Hadi, calon yang sesuai mestilah seorang yang sihat tubuh badan, berusia bawah 70 tahun dan cukup gagah untuk memimpin negara.
Sementara itu, kata Mohd Faizuddin, sudah tiba masanya kini Pas tidak lagi berada di belakang tabir, atau sekadar berada di tepi jalan, sebaliknya memimpin PN ke tahap lebih baik.
Jelasnya, rakyat ketika ini berasa kecewa dengan kegagalan sistem ekonomi madani dan penipuan politik yang didakwa dilakukan oleh pemimpin negara hari ini, termasuk kemungkinan wujudnya skandal politik yang lebih dahsyat berbanding skandal-skandal sebelum ini.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kepada penguat kuasa yang ada dalam negara.
“Apa yang kita tahu rakyat sedang menagih dan meronta-ronta mendambakan seorang Ahli Parlimen daripada Pas untuk ke Putrajaya dan memimpin Kabinet, sekali gus menyelamatkan negara dengan kembali kepada penyelesaian Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment