ALOR SETAR – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang akan berlangsung minggu depan dijangka memutuskan berkenaan calon Perdana Menteri ke-11 daripada PN serta parti yang bakal menerajui gabungan tersebut.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau hari ini sudah memaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan mesyuarat tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka dengan sebarang keputusan berkenaan isu terbabit dan menyifatkan menjadi hak setiap parti komponen PN menamakan wakil mereka sebagai calon PM seterusnya di pentas perhimpunan atau muktamar masing-masing.
“Kita (PN) bersikap terbuka dan tidak ada masalah untuk berbincang (tentang parti terajui PN dan calon PM), kalau sudah ada pilihan majoriti dan sudah muktamad pilih sesiapa, kita akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Muktamar Pemuda Pas kali ke-66 meluluskan usul bersejarah mendesak Pas mempersiapkan parti untuck memimpin PN dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.
Usul itu dibentangkan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar dalam sesi perbahasan dan mendapat sokongan sebulat suara lebih 750 perwakilan yang hadir.
Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan, Sudah tiba masanya Pas mengambil alih tampuk kepemimpinan PN secara muafakat politik.
Awal bulan ini, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 turut meluluskan usul mencadangkan Muhyiddin sebagai calon PM ke-11 daripada parti tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyangkal dakwaan kononnya hubungan parti tersebut dengan Pas bergolak disebabkan rasa tidak selesa sesetengah pemimpin Pas terhadap Bersatu.
Jelasnya, sepanjang tujuh tahun hubungan Bersatu dan Pas di bawah payung PN, kerjasama kedua-dua parti berjalan lancar dan dibuktikan dengan kejayaan besar memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Malah, ujar beliau, Bersatu dan Pas juga sentiasa berbincang dalam isu-isu melibatkan masalah rakyat khususnya untuk diangkat di peringkat Parlimen di bawah peranan Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang.
“Bukan sahaja di peringkat pemimpin tertinggi, malah di peringkat akar umbi juga kerjasama dan hubungan Bersatu dan Pas sangat baik untuk memastikan PN adalah pilihan yang jelas dan kukuh lebih-lebih lagi untuk menghadapi PRU-16,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment