KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyifatkan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal, gagal menutup ruang ketirisan dan gagal berlaku adil kepada rakyat.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ketika mula diperkenalkan, skim itu digembar-gemburkan mampu menjimatkan sehingga RM16 bilion setahun.
Namun, ujar beliau, angka itu merosot kepada RM8 bilion, dan akhirnya tinggal hanya sekitar RM2 hingga RM4 bilion.
“Penjimatan kecil ini langsung tidak memberi kesan bermakna kepada kedudukan fiskal negara, malah boleh menjadi beban baharu sekiranya harga minyak dunia terus meningkat kerana kerajaan terpaksa menambah subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, tambah beliau, agihan subsidi itu jelas tidak adil apabila golongan T20 dan pemilik kereta mewah tetap menerima manfaat yang sama seperti rakyat marhaen yang hanya menggunakan motosikal atau kereta kecil.
Malah, ujarnya, pengguna pengangkutan awam tidak mendapat sebarang faedah, sekali gus menjadikan inisiatif BUDI95 bersifat regresif dan bercanggah dengan semangat keadilan sosial.
Jelasnya, rakyat juga dibebankan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi antaranya pemegang lesen yang gagal diperbaharui lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi.
“Keputusan ini hanya menambah beban teknikal kepada rakyat sedangkan subsidi minyak adalah soal keperluan harian,” katanya.
Paling mengecewakan, tambah beliau, inisiatif itu tetap membuka ruang luas kepada ketirisan kerana kuota besar mudah disalahgunakan termasuk dijual semula atau digunakan bagi kenderaan syarikat.
Lebih parah, katanya, data Pangkalan Data Utama (PADU) bernilai RM85 juta yang sebelum ini dipaksa rakyat daftar tidak digunakan langsung.
“Rakyat berasa tertipu kerana segala kos dan keributan mengisi PADU tidak memberi apa-apa makna dalam dasar subsidi,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Afnan Hamimi, pihaknya mendesak kerajaan kembali kepada subsidi bersasar yang benar-benar mengutamakan golongan memerlukan, menutup ketirisan, dan dalam masa yang sama menjamin kelestarian kewangan negara.
“Rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan uji kaji demi kepentingan politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment