KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyuarakan bantahan terhadap skim subsidi petrol BUDI95 yang diumumkan kerajaan sambil mendakwa ia tidak memberi manfaat besar kepada rakyat.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali membandingkan penjimatan itu dengan kenaikan harga barangan keperluan yang didakwa semakin tinggi.
“Harga ikan kembung cecah RM20 sekilo, harga telur naik 16 peratus selepas subsidi ditarik. Penjimatan petrol hanya 12 sen sehari, tapi rakyat rugi 16 sen sehari kerana harga telur naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim membangkitkan kebimbangan terhadap risiko ketirisan dalam pelaksanaan BUDI95, seperti wujudnya MyKad yang dipalsukan atau disalah guna, penipuan di stesen minyak, penyeludupan petrol ke negara jiran, pendaftaran akaun e-hailing palsu, kebocoran data rakyat dan warga emas serta penduduk luar bandar akan tercicir.
Katanya, golongan yang tidak memiliki kenderaan seperti pengguna pengangkutan awam juga tidak mendapat apa-apa manfaat, tetapi tetap terjejas akibat kenaikan harga barang.
Sehubungan itu beliau berkata, Putra menuntut kerajaan mengambil langkah tegas untuk mengelak berlakunya ketirisan dengan melaksanakan beberapa cadangan antaranya mewajibkan pengesahan MyKad secara nyata di pam minyak, menghadkan maksimum 50 liter setiap kali isi minyak dan mengenakan audit ketat terhadap akaun e-hailing.
Perkara lain yang turut perlu dilakukan katanya, memadankan nombor plat dan MyKad di stesen minyak berisiko, memperkukuhkan kawalan sempadan serta menyediakan kaunter mudah alih untuk membantu rakyat mendaftar BUDI95.
Dalam pada itu, Ibrahim turut mendakwa rasionalisasi subsidi kerajaan itu bukan dilakukan kerana keikhlasan, tetapi sebagai cara “mencuri subsidi rakyat secara halus”.
Tambahnya, Putra kekal dengan pendirian untuk hentikan rasionalisasi subsidi dan kembalikan subsidi petrol sepenuhnya kepada rakyat seperti sebelum ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment