NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Awas, Farhash bakal jadi 'Jho Low' zaman Anwar, kata Rafizi



Bekas menteri Rafizi Ramli memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa bekas setiausaha politiknya yang kini ahli perniagaan jutawan Farhash Wafa Salvador dibimbangi memainkan peranan seperti mana Jho Low, lelaki yang dipercayai dalang skandal 1MDB yang akhirnya menjatuhkan pentadbiran Najib Razak.

Dalam wawancara bersama portal berita Malaysiakini, Rafizi berkata sebelum ini wujud "tangan ghaib" yang mengawal jawatan tertinggi negara, namun akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan.

"Saya tidak fikir kita nak biarkan walaupun suku daripada Jho Low berlaku lagi. Persoalan sama ada ini boleh bertukar menjadi satu lagi kes Jho Low, bagi saya, apa sahaja yang membenarkan pengaruh tidak wajar daripada seorang tokoh yang tidak dipertanggungjawabkan dan tidak dipilih menerusi peti undi, yang memaklumkan kepada dunia bahawa 'saya ada pengaruh', itu sesuatu kita kena hindarkan. Tetapi saya fikir risiko itu wujud," kata ahli Parlimen Pandan itu, yang meletak jawatan sebagai menteri ekonomi sejurus selepas tewas kepada anak Anwar, Nurul Izzah, dalam pertandingan jawatan timbalan presiden PKR.

Rafizi memberi amaran terhadap mengenai "tangan ghaib" seperti "Rasputin" - merujuk kepada watak berpengaruh di penghujung empayar Rusia satu masa dulu - sambil menjelaskan bagaimana seseorang yang mempunyai pengaruh politik boleh bertukar menjadi ahli korporat disebabkan ahli perniagaan yang cuba mendapatkan kontrak lumayan dari kerajaan.

"Ada kecenderungan yang mana syarikat-syarikat digunakan sebagai 'vehicle'.

"Bukan saja Farhash. Katakanlah ada orang yang berpengaruh yang dirasakan ada kabel dengan kerajaan. Saya tahu bahawa ada tender A, tender B, tender C. Tender A mungkin untuk 10 tahun berbilion harganya. Jadi saya pun cari vehicle mana yang saya nak gunakan.

"Jadi oleh kerana tuan punya syarikat itu rasa, 'OKlah ini sesuatu yang baik untuk syarikat saya, ini kabel besar ni'. Jadi akan berlaku transaksi yang sebenarnya nampak halal. Saya jual 20%, tiba-tiba ada seorang yang baru yang memang tidak pernah ada rekod apa-apa jadi pemain korporat, mengambil alih syarikat A 20%, kemudian syarikat A masuk tender, syarikat A dapat!," kata Rafizi.

Sejak bekas bosnya dilantik sebagai perdana menteri pada November 2022, nama Farhash diangkat mengetuai beberapa syarikat besar, termasuk dalam rangkaian kedai runcit 7-Eleven milik Vincent Tan, sebuah firma broker saham dan sebuah syarikat fintech.

Tahun lepas, Farhash menjadi fokus kebimbangan jalinan ahli politik pemerintah dengan dunia perniagaan selepas beliau mengambil alih pegangan besar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk membangunkan sistem imigresen baharu k satu bilion ringgit.

Bekas pengerusi PKR Perak berusia 42 tahun itu muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam HeiTech Padu Bhd dengan pegangan 15.91%, melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

HeiTech Padu adalah salah satu daripada tiga syarikat disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1 bilion, menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Pembelian saham HeiTech Padu dilakukan hanya sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4% kepentingan ekuiti dalam syarikat itu dengan harga RM31.25 juta pada 11 Mac 2024.

Pada hari yang sama, HeiTech Padu mengumumkan lanjutan kontrak selama setahun bernilai RM13 juta untuk menyelenggara MyIMMs.

Farhash ketika itu berkata Rosetta Partners ialah anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Kedua-dua Anwar dan Farhash setakat ini enggan melayan kebimbangan orang ramai yang semakin meningkat, dengan alasan Farhash tidak lagi aktif dalam politik.

Farhash kembali mencuri perhatian pada Julai lalu selepasMalaysiaNow mendedahkan dokumen dan rakaman audio menunjukkan bagaimana Bumi Suria Sdn Bhd diberikan lampu hijau untuk permohonan lesen cari gali mineral meliputi 70,000 hektar berhampiran sempadan Kalimantan - kawasan hampir tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur.

Kelulusan untuk Bumi Suria, syarikat yang dikawal Farhash dan seorang lagi individu, berlaku pada 21 Mei tahun lalu, selang dua minggu selepas Farhash dan Aminuddin Mustapha mengambil alih syarikat itu.

Farhash bagaimanapun menafikan laporan itu, dan memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap MalaysiaNow.

Sebelum ini, Farhash turut menyaman bekas orang kuat Umno Isham Jalil, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Rafizi sendiri.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi menasihatkan Anwar supaya tidak menolak kebimbangan mengenai Farhash dengan memberikan alasan beliau tidak lagi bergiat dalam politik.

Menurutnya, Najib juga pernah menafikan peranan Jho Low.

"Pengalaman saya sendiri ialah kita jangan pandang mudah bila cakap-cakap itu ada. Bila ada konsistensi dari pelbagai pihak, kamu harus beri perhatian," katanya.

"Ini yang saya merayu kepada Anwar Ibrahim. Jangan ambil laluan yang sama. Dengan mudah, 'saya tak ada kena-mengena'. 

"Kalau jadi apa-apa dan terbukti di kemudian hari, maka yang terpaksa menanggung beban itu adalah Anwar Ibrahim dan PKR sendiri."


Sumber | MalaysiaNow 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Anwar jangan layan Trump berlebihan – Puad



KUALA LUMPUR – Malaysia tidak wajar memberi layanan berlebihan kepada Donald Trump, sebaliknya kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) berkenaan ke negara ini perlu dilayan sama seperti pemimpin negara lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jangan kerana kehadiran Trump, aliran trafik ditutup selama beberapa jam sehingga menyebabkan urusan rakyat tergendala.

Sebaliknya, tambah beliau, Trump memadai diiringi seperti polis trafik mengiringi kenderaan rasmi Perdana Menteri dan Menteri-menteri lain, tanpa perlu penutupan jalan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan konsep Super Power dan Make America Great Again sudah lapuk.

Ujarnya, Super power AS ialah senjata nuklear dan kuasa veto sesuka hati, tetapi Super power China ialah ilmu, modenisasi dan teknologi tinggi.

“Trumph sendiri tidak menghormati Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

“Dia dihalang melintas jalan di New York untuk beri laluan konvoi Trumph yang guna laluan sama.

“Trumph marah kerana ucapan Macron di PBB membela Palestin. Itulah super power angkuh.

“Tetapi Macron lebih bijak. Sambil berjalan kaki dia menegur rakyat dan memeluk mereka.

“Menurut Macron, “kuasa rakyat lebih besar dari kuasa Trumph. Dia dimalukan oleh Macron,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Trump telah mengesahkan akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur bulan depan.

Anwar dijadual menyampaikan jemputan rasmi kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

BUDI95: Jangan jadikan rakyat bahan uji kaji kepentingan politik sempit – Pemuda Pas



KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyifatkan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal, gagal menutup ruang ketirisan dan gagal berlaku adil kepada rakyat.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ketika mula diperkenalkan, skim itu digembar-gemburkan mampu menjimatkan sehingga RM16 bilion setahun.

Namun, ujar beliau, angka itu merosot kepada RM8 bilion, dan akhirnya tinggal hanya sekitar RM2 hingga RM4 bilion.

“Penjimatan kecil ini langsung tidak memberi kesan bermakna kepada kedudukan fiskal negara, malah boleh menjadi beban baharu sekiranya harga minyak dunia terus meningkat kerana kerajaan terpaksa menambah subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan, tambah beliau, agihan subsidi itu jelas tidak adil apabila golongan T20 dan pemilik kereta mewah tetap menerima manfaat yang sama seperti rakyat marhaen yang hanya menggunakan motosikal atau kereta kecil.

Malah, ujarnya, pengguna pengangkutan awam tidak mendapat sebarang faedah, sekali gus menjadikan inisiatif BUDI95 bersifat regresif dan bercanggah dengan semangat keadilan sosial.

Jelasnya, rakyat juga dibebankan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi antaranya pemegang lesen yang gagal diperbaharui lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi.

“Keputusan ini hanya menambah beban teknikal kepada rakyat sedangkan subsidi minyak adalah soal keperluan harian,” katanya.

Paling mengecewakan, tambah beliau, inisiatif itu tetap membuka ruang luas kepada ketirisan kerana kuota besar mudah disalahgunakan termasuk dijual semula atau digunakan bagi kenderaan syarikat.

Lebih parah, katanya, data Pangkalan Data Utama (PADU) bernilai RM85 juta yang sebelum ini dipaksa rakyat daftar tidak digunakan langsung.

“Rakyat berasa tertipu kerana segala kos dan keributan mengisi PADU tidak memberi apa-apa makna dalam dasar subsidi,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Afnan Hamimi, pihaknya mendesak kerajaan kembali kepada subsidi bersasar yang benar-benar mengutamakan golongan memerlukan, menutup ketirisan, dan dalam masa yang sama menjamin kelestarian kewangan negara.

“Rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan uji kaji demi kepentingan politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

BUDI95: Ambil langkah tegas elak ketirisan – Putra



KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyuarakan bantahan terhadap skim subsidi petrol BUDI95 yang diumumkan kerajaan sambil mendakwa ia tidak memberi manfaat besar kepada rakyat.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali membandingkan penjimatan itu dengan kenaikan harga barangan keperluan yang didakwa semakin tinggi.

“Harga ikan kembung cecah RM20 sekilo, harga telur naik 16 peratus selepas subsidi ditarik. Penjimatan petrol hanya 12 sen sehari, tapi rakyat rugi 16 sen sehari kerana harga telur naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim membangkitkan kebimbangan terhadap risiko ketirisan dalam pelaksanaan BUDI95, seperti wujudnya MyKad yang dipalsukan atau disalah guna, penipuan di stesen minyak, penyeludupan petrol ke negara jiran, pendaftaran akaun e-hailing palsu, kebocoran data rakyat dan warga emas serta penduduk luar bandar akan tercicir.

Katanya, golongan yang tidak memiliki kenderaan seperti pengguna pengangkutan awam juga tidak mendapat apa-apa manfaat, tetapi tetap terjejas akibat kenaikan harga barang.

Sehubungan itu beliau berkata, Putra menuntut kerajaan mengambil langkah tegas untuk mengelak berlakunya ketirisan dengan melaksanakan beberapa cadangan antaranya mewajibkan pengesahan MyKad secara nyata di pam minyak, menghadkan maksimum 50 liter setiap kali isi minyak dan mengenakan audit ketat terhadap akaun e-hailing.

Perkara lain yang turut perlu dilakukan katanya, memadankan nombor plat dan MyKad di stesen minyak berisiko, memperkukuhkan kawalan sempadan serta menyediakan kaunter mudah alih untuk membantu rakyat mendaftar BUDI95.

Dalam pada itu, Ibrahim turut mendakwa rasionalisasi subsidi kerajaan itu bukan dilakukan kerana keikhlasan, tetapi sebagai cara “mencuri subsidi rakyat secara halus”.

Tambahnya, Putra kekal dengan pendirian untuk hentikan rasionalisasi subsidi dan kembalikan subsidi petrol sepenuhnya kepada rakyat seperti sebelum ini. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

DAPSY warisi politik lapuk ‘Fearmongering’, jadi batu api – Pemuda Pas



KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyifatkan kenyataan sayap Pemuda DAP (DAPSY) terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai manifestasi ketakutan dan keresahan parti itu yang semakin hilang sokongan daripada rakan politiknya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, DAPSY tidak seharusnya memainkan peranan sebagai batu api dengan melaga-lagakan pihak lain yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

“DAPSY tidak perlu menjadi batu api dengan melaga-lagakan pihak lain yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

“Sikap sebegini hanya membuktikan bahawa DAP semakin terdesak dan tersepit dalam mempertahankan agenda mereka di sebalik pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Mohd Hafez, rakyat sudah matang dan bijak menilai siapa yang mendapat laba berganda serta siapa yang menanggung kerugian daripada penggubalan dasar PSB tersebut.

“Adalah dangkal apabila setiap kritikan terhadap dasar kerajaan khususnya kecacatan dan kelompongan PSB disempitkan dengan tuduhan eksploitasi isu perkauman, kononnya menimbulkan ketakutan dan kebencian.

“Hakikatnya, bantahan terhadap PSB adalah perjuangan membela hak serta harta rakyat yang sah, bukan retorik kosong,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP yang mendabik dada sebagai parti demokratik dan progresif, tetapi memilih untuk menempelak rakyat dengan label negatif hanya kerana berbeza pandangan.

“Malah, kenyataan pemimpin muda DAP sendiri jelas terjangkit dengan wabak ‘tone deaf’ yang turut dipamerkan oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming yang gagal memahami keresahan rakyat,” katanya.

Menurut Mohd Hafez, pemimpin muda DAP sepatutnya memberi perhatian kepada keresahan generasi muda yang bimbang terpinggir daripada bandar akibat eksploitasi pemaju kapitalis dan pemain hartanah.

Katanya, keadaan itu hanya melahirkan lambakan rumah mewah yang tidak sepadan dengan gaji golongan muda sekali gus melonjakkan harga rumah di luar kemampuan rakyat biasa. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Amanah Johor tolak sikap ‘abang besar’ dalam rundingan PRN Johor



JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menolak sebarang bentuk dominasi atau sikap ‘abang besar’ dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak mahu  ada sikap seperti itu sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Amanah Johor juga ujarnya, menyeru supaya perbincangan mengenai agihan kerusi dilakukan lebih awal dengan penuh ketelusan.

Tambahnya, ini bagi mengelakkan salah faham dan menekankan keutamaan utama ialah mempertahankan kestabilan politik negeri serta kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Amanah Johor menegaskan jika UMNO/BN Johor membuat keputusan untuk bersama-sama PH dalam semangat kerajaan Perpaduan PRN Johor yang akan datang, maka sebarang rundingan kerjasama bagi menghadapinya mesti dibuat secara matang, setara dan saling menghormati antara semua parti komponen dalam kerajaan Perpaduan.

“Rundingan kerusi, strategi kempen dan pembahagian tanggungjawab harus dilaksana dengan mengambil kira kekuatan serta sumbangan setiap parti, bukan berdasarkan kedudukan sejarah atau jumlah kerusi semata-mata,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, walaupun tidak berada dalam kerajaan Johor, peranan PH selaku tonggak utama kerajaan Perpaduan yang banyak membantu kerajaan Johor dalam menjana ekonomi yang lebih mampan.

Jelasnya, ini dapat dilihat menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).

“⁠Kami percaya kejayaan kerajaan Perpaduan di peringkat negeri hanya dapat dicapai melalui semangat muafakat tulen dan perundingan yang adil.

“⁠Semua rakan gabungan perlu menghormati pandangan antara satu sama lain kerana rakyat Johor mengharapkan kepimpinan yang bersatu, bukannya pertikaian dalaman yang mencetuskan persepsi negatif,” katanya.- MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Penuntut universiti didenda RM10,000 muat naik video lucah di aplikasi X



KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti awam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah menerusi akaun X miliknya, tahun lepas.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Aidil Akmal Azhar, 24, selaku orang kena saman (OKS) dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dihukum penjara empat bulan.

OKS berkenaan membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun “@sanomanji89”, di sebuah kediaman di Shah Alam, Selangor pada 10.45 malam 1 Mac 2024 dan hantaran tersebut dilihat di sebuah kondominium di sini pada 11 pagi 4 April tahun sama Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

OKS dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai forensik digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat data preservasi ke atas akaun X “@sanomanji89” dan hasil analisis forensik menemukan maklumat iaitu nama pengguna Manjiro serta kandungan video lucah dimuat naik tersebut di dalam telefon bimbit yang rampas daripada tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada OKS mengambil kira kesan kandungan lucah di media sosial terhadap negara amat serius kerana ia menyentuh aspek moral, sosial, ekonomi, keselamatan dan kedudukan antarabangsa.

“Generasi muda pula menjadi kumpulan paling terkesan kerana mudah terdedah kepada media sosial. Jika dibiarkan, hal ini akan melahirkan generasi yang lemah dari segi akhlak, kurang daya tahan moral dan hilang fokus, seterusnya menjejaskan pembangunan modal insan negara.

“Mahkamah juga boleh mengambil maklum bahawa terdapat peningkatan ketara dalam kes penghantaran komunikasi lucah di media sosial… jika tindakan tidak diambil dengan tegas, ia akan membuka ruang kepada kelaziman kelakuan seperti ini,” katanya.

Peguam Nurshah Kamarudin pula memohon hukuman rendah atas alasan OKS tidak mempunyai kesalahan lampau dan menyesal serta telah insaf selain berjanji tidak akan mengulanginya.

“Pengakuan bersalah OKS menjimatkan masa serta kos mahkamah… mahkamah juga perlu mengambil kira OKS memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan… ibunya seorang kerani manakala ayahnya pembantu restoran dan perlu menanggung enam anak,” katanya yang dibantu oleh peguam Muhammad Iman Azhar.–AlHijrah Online



 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

KKM sasar larangan penjualan vape seawal pertengahan tahun depan – Dzulkefly



CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape seawal-awalnya pada pertengahan tahun depan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kementerian kekal komited untuk mengharamkan produk rokok itu, namun akan mengambil pendekatan secara berperingkat.

“Saya berharap ia dapat dilaksanakan pertengahan 2026. Jika tidak, pada separuh kedua tahun depan.

“… tetapi perlu diingat terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Bagaimanapun, kita (KKM) tetap mahu mengharamkan penjualan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Induk Nasional Tingkah Laku dalam Kesihatan di sini hari ini.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata KKM dalam proses merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai pengharaman rokok elektronik atau vape bagi memastikan pelaksanaannya dirancang secara intensif dan menyeluruh.

Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri agar penebusan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas kepada produk buah-buahan dan sayur-sayuran bagi menggalakkan tabiat pengambilan makanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini boleh menjadi sebahagian daripada strategi dorongan kerana kita tahu ada kelompok umur tertentu yang tidak gemar makan sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Ketika ini, penerima penghargaan SARA boleh menebus barangan keperluan asas daripada 14 kategori produk seperti beras, roti, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, produk kebersihan diri, barangan kebersihan, kelengkapan rumah, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.–AlHijrah Online





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

JAKIM, JAWI diarah selaras sokat hajat esok untuk keselamatan misi Global Sumud Flotilla



KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah menyelaras pelaksanaan solat hajat di semua masjid utama dan surau di Wilayah Persekutuan selepas solat Jumaat esok, untuk keselamatan Misi Global Sumud Flotilla.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pelaksanaan solat hajat itu bagi menyatakan solidariti serta memohon pertolongan daripada Allah SWT agar keselamatan sukarelawan dan kelancaran misi berkenaan sentiasa dipelihara.

“Seperti dimaklumkan media berkaitan perkembangan terkini yang kita terima amat membimbangkan. Kapal-kapal Misi Global (Sumud) Flotilla dilaporkan menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman ketika semakin hampir dengan zon kritikal, ini termasuk letupan, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi.

“Marilah kita bersama-sama menadahkan tangan ke hadrat Allah SWT agar misi kemanusiaan ini dipermudah, para sukarelawan diberikan perlindungan dan kekuatan serta doa kita menjadi sumber kekuatan kepada rakyat Palestin yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap semoga Malaysia sentiasa diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha kemanusiaan sejagat dan doa semua menjadi asbab kejayaan misi itu.

Semalam, konvoi Global Sumud Flotilla berdepan detik mencemaskan apabila diintimidasi oleh dron rejim Israel yang turut melakukan letupan di udara.

Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Cente Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery dilaporkan berkata flotila itu berdepan cubaan intimidasi oleh 15 dron Israel yang berlegar pada altitud rendah setiap 10 minit.

Pelayaran Global Sumud Flotilla merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 delegasi Malaysia yang menaiki hampir 70 bot dengan matlamat memecah kepungan terhadap Gaza.–AlHijrah Online





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Buli IKBN Miri: Tujuh pelajar digantung pengajian seminggu – Hannah



PUTRAJAYA: Tujuh pelajar yang terlibat dalam kes buli seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak digantung pengajian selama seminggu bermula semalam, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN semalam yang diadakan bagi membincangkan tindakan sewajarnya terhadap semua pelajar berkenaan.

“Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri sebulat suara membuat keputusan untuk mengenakan beberapa tindakan tatatertib lain kepada pelajar terlibat termasuk pemberian elaun diberhentikan serta-merta dan perlu melaksanakan kerja amal, lapor diri secara berkala dengan pegawai disiplin dan tahan ‘outing’ untuk tempoh sebulan.

“Pelajar terlibat dan mangsa perlu mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri,” katanya pada sidang media berhubung siasatan kes buli IKBN Miri, di sini hari ini.

Menurut Hannah, langkah tegas itu diambil sebagai mesej jelas bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku termasuk buli yang menjejaskan keselamatan pelajar dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 13 saat tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.

Susulan itu, semalam Hannah dilaporkan berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghantar dua pegawai tertinggi termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Chan Hong Jin ke IKBN Miri bagi melakukan siasatan bebas antaranya menyoal siasat pelajar terlibat dalam kejadian tersebut.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Hannah berkata Unit Hal Ehwal Pelajar dan tenaga pengajar IKBN Miri akan mempertingkat pemantauan, mengatur sesi kaunseling dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) selain melaksanakan program pencegahan bersama pihak polis.

Beliau berkata unit berkenaan akan mengadakan taklimat dan ceramah mengenai buli yang akan disampaikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada setiap suku tahun serta kemudahan peti aduan diperluas bagi memudahkan pelajar menyalurkan aduan atau cadangan penambahbaikan dengan kadar segera.

“Keputusan ini diambil bagi memastikan ia menjadi penghalang kepada kes (buli) dan tiada ruang bagi perkara sebegini berlaku lagi. Kita nak hantar mesej yang serius sebab kalau tidak ambil tindakan nanti akan ada banyak lagi aduan yang akan guna justifikasi gurauan sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada KBS akan berkongsi pengalaman dalam menyelesaikan kes itu, Hannah berkata pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia melakukan perkara itu memandangkan kes buli turut berlaku di tempat kerja.

“Saya juga telah berkongsi perkembangan kes ini kepada Jemaah Menteri semalam. Sepertimana kita tahu, prosedur operasi standard (SOP) mengatasi kes buli secara menyeluruh memang sedang diteliti dan sentiasa ada perbincangan antara beberapa menteri dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar),” katanya.–AlHijrah Online



 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pasangan kekasih antara tiga ditahan bersama dadah RM3.49 juta



JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas dadah seberat 24.41 kilogram (kg) dianggar bernilai RM3.49 juta dalam tiga serbuan di bandar raya ini pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata lelaki dan wanita berusia 29 serta 26 tahun itu ditahan bersama tiga botol cecair ekstasi dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Taman Sentosa.

Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 23 tahun pula ditahan bersama dua katrij vape disyaki berisi cecair ekstasi dan 119.50 gram ekstasi di tepi Jalan Sutera 3.

“Hasil penahanan mereka, polis menyerbu sebuah stor penyimpanan di sebuah pangsapuri yang disewa di Taman Delima 2, di sini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dadah dirampas di rumah berkenaan terdiri daripada 4.24kg serbuk ekstasi, 132 botol cecair ekstasi, 19.79kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 74 katrij vape cecair ekstasi, 252 gram pil ekstasi dan 15 gram serbuk ketamin.

Ab Rahaman berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Volkswagen Passat dan seutas rantai leher.

Beliau berkata pasangan kekasih itu dipercayai berperanan sebagai pengedar manakala seorang lagi lelaki pula penjaga stor penyimpanan.

Sindiket yang aktif sejak Julai lepas itu, katanya dipercayai menggunakan pangsapuri terbabit sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan termasuk pusat hiburan dan dijual secara dalam talian.

Ketiga-tiganya kini direman seminggu bermula 21 Sept lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.–AlHijrah Online





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo