NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid abai suara akar umbi, undang bahaya buat Umno



KUALA LUMPUR: Roslan Shahir Mohd Shahir mempersoalkan kelantangan Presiden Umno yang tiba-tiba menegaskan betapa perlunya Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir merasmikan beberapa persidangan bahagian Umno seluruh negara memberi gambaran bahawa survival Umno hanya terjamin jika ia kekal bekerjasama dengan PH, kerana bergerak solo mengundang bahaya.

“Beliau ambil contoh keputusan PRU15 lalu bila bergerak solo BN cuma mampu 30 kerusi Parlimen. Rupanya Zahid sedang bergelut melawan arus akar umbi yang mula membayangkan rimas dan tidak selesa berada dalam kerjasama politik dengan PH yang didominasi DAP,” ujar penganalisis politik itu.

Roslan berkata, ketika di Lumut baru-baru ini, Ahmad Zahid sendiri mengakui bahawa desakan supaya Umno bertanding secara berseorangan bukan perkara baharu.

“Desakan supaya Umno bertanding secara solo bukan perkara baharu. Ia turut disuarakan semalam ketika saya berada di Johor, sama seperti yang dilaungkan di Kedah.

“Terdapat resolusi daripada beberapa bahagian yang seolah-olah menyalahkan kehadiran rakan-rakan gabungan dalam BN dan PH sebagai punca kekalahan kita” ujarnya memetik semula ucapan Ahmad Zahid.

Roslan menyatakan akar umbi Umno sedar dan mula merasakan tidak sesuai serta serasi dari pelbagai sudut untuk kekal bekerjasama dengan PH yang dalamnya ada DAP dan PKR.

“Kedua-dua parti ini khasnya DAP tiada persamaan langsung dari sudut ideologi dan semangat perjuangan malah sesungguhnya kontra dengan perjuangan Umno itu sendiri.

“Akar umbi sedar pengundi Melayu yang kini matang dan celik politik khasnya anak-anak muda lebih cenderung pada politik penyatuan ummah berbanding bekerjasama dengan parti cauvinis yang berpegang pada slogan ‘Malaysian Malaysia’,” ulasnya.

Menurut beliau, masalahnya suara akar umbi mahu dipendam dan diperlekeh sebagai tidak praktikal, kononnya hanya idea dan pendekatan Presiden sahaja yang semasa dan membumi, manakala yang lain tidak perlu pandai-pandai.

Roslan mempersoalkan bagaimana resolusi dan usul yang merupakan hak akar umbi di bahagian lazimnya dipertimbang dan diputus oleh Jawatankuasa Usul dan dibawa ke Perhimpunan Agung.

“Tetapi awal-awal Presiden dan Setiausaha Agungnya telah cantas jauh sebelum perhimpunan agung. Barangkali kuat sungguh penolakan dalam kalangan ahli-ahli akar umbi ini sehingga Presidennya perlu campur tangan dan pintas.

“Pastinya rakan-rakan PH mula curiga dengan perkembangan ini. Pastinya Presiden Umno perlu beri penjelasan pada PM10, yang berkorban bersusah payah dulu angkatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apa dah jadi ni pada Umno?

“Tetapi ini suara akar umbi. Terpulanglah pada ahli-ahli Umno sendiri untuk buat kesimpulan. Fikirlah masak-masak sahabat. Jangan kera di hutan kenyang disusukan, ahli-ahli sendiri kelaparan tidak dipedulikan lagi,” katanya. HARAKAHDAILY 8/7/2025






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo