KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.
Perkara itu antara yang dibincangkan menerusi mesyuarat MKT UMNO malam ini, yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, mesyuarat MKT UMNO malam ini menjadi tumpuan media selepas dikatakan akan membangkitkan mengenai isu penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Ia susulan UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula, selaras dengan matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, MKT UMNO akan menunggu usul berkenaan dibawa oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam Biro Politik parti.
Tambah Ahmad Zahid, beliau turut menyerahkan kepada MKT UMNO untuk memutuskan usul mengembalikan keahlian Hishammuddin yang digantung selama enam tahun sejak Januari 2023.
Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen Sembrong berkenaan sendiri masih belum mengemukakan sebarang rayuan atau permohonan maaf berhubung penggantungan tersebut.
Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, atau dua penggal pemilihan MKT UMNO.
Sementara itu, dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas mesyuarat MKT UMNO malam ini menyatakan UMNO berasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti-parti dalam gabungan itu untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.
Selain itu, tambahnya, mesyuarat UMNO malam ini juga akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan termasuk pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan.
“UMNO merakamkan ucapan setinggi-tingginya penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak kerana membantu segala pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar (Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.
Tambahnya, mesyuarat MKT UMNO malam ini turut bersetuju supaya tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 telah dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29 November depan, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Tarikh asal PAU 2025 yang ditetapkan sebelum ini adalah pada 20 hingga 23 Ogos ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment