KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan tegas memberitahu beliau tidak akan membuat rayuan penggantungan keahliannya kepada UMNO kerana tahu beliau tidak diadili dengan sebaiknya.
Bahkan, beliau yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong enggan menggadaikan prinsip yang dipegangnya selama ini, meskipun ada yang mengatakan beliau terhegeh-hegeh dan bodoh sombong.
Hishammuddin berkata, ramai yang beranggapan adalah sesuatu yang mudah untuk menulis surat dan merayu kembali penggantungannya di dalam UMNO.
“Penting untuk saya nyatakan di sini, ini bukan soal keahlian, bukan soal kedudukan dan bukan soal jawatan.
“Ini soal prinsip, integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini saya pegang dalam UMNO,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik menerusi laman sosial Instagram beliau hari ini.
Menyingkap semula penggantungan keahliannya dalam UMNO pada Januari 2023, Hishammuddin mendakwa, tidak ada sebarang penjelasan atau perincian lanjut berhubung tindakan yang dikenakan terhadap beliau itu.
Malah, katanya, sehingga ke hari ini, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi dan bertulis mengenai sebarang kesalahan spesifik yang didakwa telah dilakukan beliau.
“Dua tahun lalu saya digantung melalui hanya laporan media pada malam 27 Januari 2023, tiga hari selepas itu sahaja baru saya dapat surat rasmi yang menyatakan saya digantung atas alasan melanggar fasa-fasa dalam Perlembagaan UMNO.
“Saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau membela diri, saya tidak dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Disiplin,” katanya.
Hishammuddin menegaskan, perjuangannya selama ini bukan sekadar untuk kembali menjadi ahli UMNO, tetapi tentang memegang kepada nilai dan prinsip.
Pendirian itu bukan sahaja melibatkan beliau, tetapi juga pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu, yang disifatkan sukar untuk dikompromi.
Beliau turut mempertikai proses penggantunggannya yang dikatakan tidak mengikut prosedur, namun apabila terdapat permintaan untuk beliau diterima semula, beliau perlu melalui prosedur.
Dalam masa sama, Hishammuddin turut mengingatkan usul supaya penggantungan beliau ditarik balik bukan dibuat beliau secara peribadi.
“Ia datang daripada UMNO Bahagian Sembrong sendiri, maka adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk memberi jawapan dan penjelasan kepada mereka, bukan kepada saya.
“Walaupun keputusan begitu, ia sikit pun tidak menjejaskan kedudukan saya. Saya tahu di mana saya berdiri dan rakyat Sembrong juga tahu siapa saya,” katanya.
Mengulas keputusan mesyuarat MKT UMNO malam tadi, Hishammuddin berkata, keputusan itu mencerminkan siapa MKT UMNO, bukan beliau atau UMNO Bahagian Sembrong.
“Mereka telah membuat keputusan dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip.
“Inilah perjuangan nilai dan makna, rayuan bukan penentu kesetiaan saya, prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti,” katanya.
Semalam, mesyuarat MKT UMNO membuat keputusan boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.
Perkara itu dibincangkan susulan UMNO Bahagian Sembrong buat kali kedua tahun ini ketika mesyuarat bahagian itu, membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment