Beliau yang juga bendahari Umno Sabah, berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai wawasan jangka panjang dan pelan berstruktur membawa pembangunan sebenar di kawasan luar bandar seperti di Sipitang.
Katanya, Sogip bukan inisiatif spontan atau hasil perjuangan pihak lain, sebaliknya hasil dasar dirancang teliti serta strategik oleh kerajaan BN di kedua-dua peringkat.
“Ketika Sogip dirancang dan dimulakan, Ketua Menteri Sabah ialah Musa Aman (kini Yang di-Pertua Negeri Sabah), Ahli Parlimen Sipitang pula ialah Sapawi Ahmad dari Umno, dan kedua-dua kerajaan negeri serta persekutuan ketika itu diterajui BN. Ini fakta, bukan auta,” katanya ketika berucap pada program Radu Tatap Radu, di Sindumin, Sabah.
Salleh menjelaskan, Umno-BN tidak menolak parti tempatan, namun jangan sampai memadamkan fakta dan sejarah.
“Sogip adalah hasil daripada pelan pembangunan nasional untuk Sabah, dan BN yang melaksanakannya. Jangan datang kemudian untuk tuntut kredit atas hasil kerja orang lain.”
Dalam pada itu, Salleh berkata, rakyat jangan mudah terpengaruh naratif mengelirukan dan menilai berdasarkan rekod pencapaian yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat akar umbi.
“Umno-BN tetap komited untuk membawa pembangunan berdasarkan perancangan rapi dan strategi yang kukuh — bukan retorik kosong semata-mata,” katanya.
Katanya, projek seperti Sogip wajar dijadikan contoh kejayaan hasil kerjasama antara kepimpinan nasional dan negeri, berpaksikan fakta serta didorong pencapaian sebenar.
Sogip dibangunkan bagi menjadikan Sabah sebagai hab utama sektor tenaga di Asia Tenggara menumpukan kepada bekalan gas asli dan bahan api rendah karbon.
Pada Februari lalu, Ketua Menteri Hajiji Noor melancarkan projek hab tenaga minyak dan gas bernilai RM8.88 bilion di taman perindustrian berkenaan.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment