Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata ini kerana bilangan guru bersara hampir sama dengan mereka yang baru dilantik.
“Walaupun saya difahamkan pengambilan calon guru melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) bakal ditingkatkan sekali ganda untuk sesi akan datang namun proses ini mengambil masa lima tahun sebelum mereka bergraduasi.
“Dengan bilangan guru 420,000 ini…jika 8% tidak dipenuhi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan membawa jumlah 33,600 orang,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penambahan sekolah baharu mahupun kelas akibat peningkatan jumlah murid juga akan memberi kesan langsung kepada isu kekurangan guru.
Pada 3 Julai, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya bersama SPP berjaya menoktahkan isu kekurangan guru melalui pelbagai mekanisme, termasuk penekanan terhadap kualiti dan penempatan guru yang sesuai di seluruh negara.
Katanya, permohonan ke IPG juga meningkat setiap tahun sekali gus menunjukkan keinginan tinggi bergelar pendidik.
Bagaimanapun, kenyataan itu dikecam warganet yang mendakwa masalah kekurangan masih berlaku, malah bilangan guru ganti belum dapat menampung kekosongan pendidik yang bersara.
Antara reformasi pendidikan termasuk peluasan kluster mata pelajaran, pengambilan guru diperluas kepada graduan berpotensi dari universiti swasta dan luar negara selain universiti awam, serta pelantikan guru secara contract of service (CoS) dalam kalangan graduan tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.
Selain itu, pengambilan calon guru bagi program praperkhidmatan program ijazah sarjana muda perguruan (PISMP) bagi calon guru lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan program matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula 2024, dan penubuhan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berharap isu cikgu mengajar subjek luar bidang di sekolah diselesaikan dengan pengisian guru baharu yang dibuat kelak.
“Kami bimbang jika ada sekolah yang mempunyai guru mencukupi atau berlebihan menghadapi masalah guru subjek (tertentu) kurang disebabkan tempat tersebut diambil subjek lain.
“Harapan saya dengan guru yang cukup ini dapat mengatasi beban tugas guru, dan mereka boleh fokus isu lebih fundamental iaitu pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment