NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah Rayuan silap batal sabitan rasuah Isa Samad, kata pendakwa



PUTRAJAYA:
 Pihak pendakwaan menyenaraikan 24 sebab Mahkamah Persekutuan perlu mengembalikan semula sabitan rasuah terhadap bekas pengerusi Felda Isa Samad yang dibatalkan tahun lalu.

Pada Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan Isa yang didakwa menerima suapan RM3 juta berkait kelulusan pembelian hotel di Kuching 10 tahun sebelum itu.

Panel tiga hakim diketuai Vazeer Alam Mydin Meera ketika itu berkata, Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan boleh rayu yang memerlukan campur tangan.

Bagaimanapun, dalam petisyen rayuannya difailkan Jumaat lalu, pihak pendakwaan berhujah Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika mengenal pasti unsur yang membentuk kesalahan menerima suapan.

Menurut pendakwaan, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila menyatakan penerimaan wang rasuah tidak boleh dibuktikan tanpa dibuktikan unsur permintaan terlebih dahulu

“Mahkamah Rayuan silap apabila memutuskan perbuatan meminta dan menerima wang adalah dua kesalahan berasingan seperti ditetapkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, berdasarkan nas-nas perundangan,” kata pendakwaan.

Pihak pendakwaan turut membangkitkan, Mahkamah Rayuan terkhilaf semasa menilai keterangan saksi utama pendakwaan, Zahid Arip, pegawai khas Isa ketika itu

Katanya, Mahkamah Rayuan menerima keterangan lisan bahawa ahli perniagaan Ikhwan Zaidel, bekas pengarah hotel itu, memberikan wang kepada Zahid.

Turut dikemukakan semasa perbicaraan keterangan bahawa Zahid menyerahkan wang tersebut kepada Isa.

Pihak pendakwaan menyatakan, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan bahawa keterangan tersebut harus disokong keterangan lain.

“…Mahkamah Rayuan gagal mempertimbangkan fakta kes sedangkan hakim perbicaraan mempunyai kelebihan audio dan visual video dalam menentukan kelakuan saksi,” katanya

Mahkamah Persekutuan menetapkan pengurusan kes pada 7 Julai.

Pada 2021, Hakim Nazlan Ghazali – kini berkhidmat di Mahkamah Rayuan – mendapati Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta.

Dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.4 juta.

Apabila membatalkan sabitan itu, Vazeer berkata, pihak pendakwaan mengemukakan dua naratif kes yang berlainan, dan dalam senario sedemikian, faedah kesangsian wajar diberikan kepada tertuduh

Katanya, hakim perbicaraan juga telah tersalah arah apabila memutuskan bahawa suatu kes prima facie telah dibuktikan berdasarkan testimoni Ikhwan.

Begitu juga, pihak pendakwaan menyatakan bahawa Isa mengarahkan Zahid untuk mengambil wang daripada Ikhwan, tetapi menurut Vazeer, Ikhwan memaklumkan mahkamah bahawa Isa tidak pernah secara langsung meminta sebarang suapan.

Vazeer menambah, Zahid bukan saksi pendakwaan yang berwibawa disebabkan oleh percanggahan material dalam testimoninya.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo