KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan supaya pesalah yang sedang menjalani hukuman penjara kurang daripada 10 tahun turut diberi peluang menggantikan hukuman penjara mereka dengan Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
Ahli Parimen Arau itu berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 meluaskan skop pesalah yang dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun, namun ia menimbulkan persoalan mengenai kelayakan mereka yang sedang menjalani hukuman sedia ada.
“Kalau sekarang ada pesalah yang dijatuhkan hukuman 10 tahun tetapi selepas beberapa tahun hukuman tinggal enam atau lapan tahun, adakah mereka ini boleh dipertimbangkan untuk Perintah Kehadiran Wajib?
“Kalau ini dibolehkan, ia boleh mengosongkan separuh penjara dan memberi mereka peluang membina diri,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mencadangkan pesalah yang dibebaskan di bawah RUU tersebut diwajibkan bekerja lapan jam sehari, selain empat jam mengikuti kursus atau program pembelajaran.
“Kalau mereka bekerja, kita boleh kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Dan kalau empat jam untuk kursus atau pembelajaran, itu membina diri mereka.
“Untuk yang beragama Islam, boleh diwajibkan hadir ke masjid sebagai sebahagian daripada pengisian hukuman,” ujarnya.
Menurut Shahidan, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan kesesakan penjara malah memberi peluang kepada pesalah menjalani hukuman yang bersifat pemulihan.
“Saya tidak mahu masuk kepada kesalahan spesifik, biarlah mahkamah tentukan. Tetapi kalau semua pesalah dengan hukuman di bawah 10 tahun diberi peluang ini, ia lebih adil dan seimbang,” katanya.
Beliau turut membandingkan pendekatan ini yang dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Belanda yang mana sistem pemulihan pesalah dilakukan secara progresif.
“Di Belanda, banduan bukan saja dipenjara tetapi ada peluang bercuti untuk tempoh tertentu. Kita boleh ambil contoh bagaimana mereka menekankan pemulihan, bukan semata-mata hukuman,” jelasnya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment