KUANTAN – Pelajar digalakkan menyertai persekitaran positif melalui seni mempertahankan diri seperti silat dan aktiviti kumpulan usrah sebagai alternatif daripada menjadi mangsa buli atau pembuli di sekolah.
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, langkah berkenaan penting bagi mengelakkakn mereka terjerat apabila terperangkap dalam persekitaran toksik.
Jelas beliau, tekanan daripada rakan sebaya dapat mempengaruhi psikologi dan pembentukan tingkah laku mereka.
“Disyorkan sekolah cuba wujudkan atau menyediakan atau memperkasakan jemaah atau circle alternatif yang positif dan membina.
“Boleh menggunakan circle yang sedia ada, antaranya ialah circle silat. Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, bahkan ia membentuk perasaan kekeluargaan dalam kalangan ahlinya.
“Murid akan menerima bimbingan daripada guru yang mengajarkan bukan sahaja teknik bertempur, tetapi juga adab, tatasusila, dan nilai budaya Melayu yang luhur, termasuk semangat patriotisme,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, dalam jemaah seperti ini, kasih sayang dan keprihatinan sesama ahli menjadi benteng daripada berlakunya perbuatan buli.
Selain itu, sistem usrah antara senior dan junior juga boleh dijadikan wadah membina hubungan yang sihat dan menyokong.
Namun, pelaksanaannya perlulah berpaksikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak terpesong dari landasan akidah dan manhaj yang sahih.
“Bimbang melihat isu buli dalam kalangan remaja. Hampir setiap tahun kita dikejutkan dengan laporan kes buli di sekolah yang semakin serius, malah ada yang membawa kepada kecederaan parah dan kehilangan nyawa.
“Realitinya, ramai remaja yang mahu berubah ke arah lebih baik, namun terperangkap dalam circle atau jemaah yang toksik dalam kalangan mereka kerana kurang alternatif sosial untuk mereka sertai.
“Mungkin punca utama remaja sukar meninggalkan circle toksik ialah kerana kebimbangan mereka akan menjadi ‘kera sumbang’ dan terasing di sekolah, dan kita nampak kebimbangan ini remeh, hakikatnya ia adalah isu besar dalam dunia remaja,” katanya.
Tambahnya, pelbagai aspek merangkumi nilai dan sistem dalam budaya masyarakat yang boleh dihidupkan semula untuk membentuk jemaah yang sihat dalam kalangan pelajar.
Budaya masyarakat menekankan nilai prihatin, saling menghormati, dan semangat kekitaan semua ini boleh menjadi teras kepada pembentukan circle pelajar yang mencegah budaya buli dari akar umbi.
Justeru bagi mengatasi isu ini usaha berterusan perlu digembelengkan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya golongan pendidik, dan ibu bapa.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment