Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mengingatkan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap penipuan slogan dan sumpah dibuat Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya, khususnya janji tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Apa yang jelas kepada kita ialah rakyat sekarang rasa tertipu dengan slogan dijanjikan oleh Barisan Nasional sebelum pilihan raya berjanji mati-matian sampai bersumpah, ‘wallahi wabillahi watallahi’tidak akan bersama dengan Anwar, tidak akan bersama dengan DAP.
“Ternyata bahawa rakyat tertipu dengan janji tersebut, dengan sumpah tersebut yang akhirnya mereka bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dengan BN walaupun mereka bersumpah.
“Demikian juga DAP. Waktu kempen pilihan raya mati-matian mengatakan Umno perompak, penyamun, tiba-tiba bersama-sama dengan perompak dan penyamun yang mereka gelarkan,” ujarnya dalam satu video di media sosial miliknya, hari ini.
Menurut Timbalan Presiden PAS itu, perubahan besar sedang berlaku di seluruh negara apabila negeri seperti Kelantan dan Terengganu menyaksikan hampir tiada pembangkang.
Manakala di Pahang sendiri jelasnya, berlaku lonjakan sokongan kepada pembangkang kerana keyakinan rakyat terhadap gerak kerja yang sedang dilakukan.
Beliau berkata, Pahang merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan lebih baik daripada ditawarkan oleh kerajaan sedia ada, khususnya dalam aspek pembangunan fizikal dan kebajikan rakyat.
“Kita lihat masih banyak jalan-jalan yang tidak diperbaiki, jalan-jalan yang berpuluh tahun tidak dinaik taraf, jalan-jalan yang masih berlubang sana sini.
“Isu bekalan air, berapa ramai penduduk yang masih lagi bergantung pada sumber air bukit yang tidak dirawat dengan baik iaitu masalah yang tak selesai.
“Demikian juga isu-isu yang melibatkan soal bantuan kebajikan golongan-golongan miskin yang di kampung-kampung yang masih tidak dibela. Mungkin kita sebut golongan FELDA dapat pelbagai peruntukan.
“Bagaimana nasib orang kampung dengan kos harga yang meningkat, harga getah yang tidak stabil di waktu yang sama mereka tidak ada sumber pendapatan dan jaminan,” tegasnya.
Kata Dato’ Sri Tuan Ibrahim, walaupun pelbagai projek diumumkan untuk peneroka FELDA dan masyarakat Orang Asli, nasib penduduk kampung dan kampung tersusun masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Justeru, beliau menyeru seluruh masyarakat termasuk Orang Asli dan penduduk kampung supaya melihat keperluan membangunkan negeri secara lebih mampan dan menyeluruh, memanfaatkan sumber yang belum diteroka secara maksima.
“Kenaikan yang bebankan rakyat ini perlu dihentikan dan di waktu yang sama kita lihat kegagalan Kerajaan Persekutuan diheret kepada kerajaan negeri yang juga mempamerkan beberapa kelemahan-kelemahan yang ada,” tempelaknya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangkang di Pahang akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam Dewan Negeri dengan membangkitkan isu, menegur dan mengemukakan cadangan bernas demi kepentingan rakyat.
“Tapi di waktu yang sama kita dahulu gerakkan kerja kita. Membaiki masyarakat kita supaya negeri Pahang benar-benar menjadi sebuah negeri yang makmur. Insya-Allah.
“Bekerja bersama tingkatkan usaha dan insya-Allah kita mampu membuat perubahan. PAS teraju Pahang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment