KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menuntut hak dan keadilan susulan tindakan pengambilan tanah secara paksa.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias berkata, pihaknya membantah tindakan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.
“Kampung Sungai Baru telah didiami secara turun-temurun oleh generasi penduduk asal yang sah dan menjadi nadi sejarah serta warisan budaya di tengah-tengah ibu kota. Kini, kami berdepan dengan pengusiran secara paksa.
“Perobohan rumah dan rampasan tanah bagi projek swasta dengan tujuan pembangunan komersial yang tidak melibatkan persetujuan menyeluruh pemilik tanah,” katanya kepada media selepas serahan memorandum berkenaan.
Jelas beliau, pengambilan tanah secara paksa itu dikenakan ke atas penduduk yang tidak menerima tawaran daripada pihak pemaju, melibatkan 72 unit flat dan 37 unit rumah teres satu tindakan yang jelas bercanggah dengan hak milik harta di bawah Perlembagaan.
“Situasi terkini penduduk Kampung Sungai Baru menghadapi ancaman hilang tempat tinggal dan kebanyakan penduduk yang masih menetap adalah warga emas, tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengalami masalah kesihatan kronik.
“Ada yang telah meninggalkan kediaman disebabkan ugutan dan tekanan kuat dari pemaju dan kontraktor yang melakukan pencerobohan tanpa menghormati penduduk-penduduk yang masih menunggu perbicaraan kes-kes mahkamah,” ujarnya.
Justeru, beliau menuntut agar pembangunan baharu yang lebih inklusif dan adil perlu dikemukakan melibatkan agensi berkepentingan rakyat antara lain seperti Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad bagi kediaman yang telah dirobohkan.
Selain penduduk perlu dilibatkan secara terus dan menyeluruh dalam semua proses pembangunan semula, dengan warisan budaya dan identiti Kampung Sungai Baru mesti dikekalkan dan tidak dikorbankan demi pembangunan.
“Hentikan semua tindakan perobohan dan pengusiran paksa serta merta. Mansuhkan Seksyen 3(1)(c) APT 1960 yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan pemaju. Tarik balik dan kaji semula Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA),” katanya.
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk dan masyarakat setempat menyertai protes awam ‘Selamatkan Kampung Sungai Baru’ yang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru dan berarak menuju ke pejabat SUHAKAM. – HARAKAHDAILY 11/7/2025
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment