NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Letupan paip gas Putra Heights: Penduduk mahu kebenaran, bukan rumusan NFA – MCA



KUALA LUMPUR – MCA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung tragedi letupan paip gas di Putra Heights.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia bagi menyiasat secara menyeluruh bencana besar itu secara telus dan terbuka susulan pengumuman tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak berkuasa hasil siasatan ke atas kejadian itu baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Selangor menambah, RCI itu mesti terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang, kejuruteraan, dan pengurusan bencana.

Ujar beliau, ia supaya hasil siasatan akhir boleh didedahkan secara umum dan memberikan penjelasan rasmi yang sah daripada segi undang-undang, politik dan moral kepada mangsa serta seluruh rakyat Malaysia.

“Apa yang rakyat mahu bukan sekadar satu kertas NFA, tetapi kebenaran, kebertanggungjawaban dan keadilan.

“Jika siasatan sedia ada gagal menjawab persoalan penting, maka satu mekanisme siasatan yang lebih tinggi dan berautoriti mesti diwujudkan.

“Ini adalah satu bencana yang melibatkan keselamatan awam.

“Daripada keseluruhan 2,680 kilometer paip gas asli di seluruh negara, berapa banyak lagi ‘bom jangka’ yang tersembunyi di bawah rumah rakyat? Soalan ini memerlukan jawapan segera.

“Mangsa-mangsa, daripada yang cedera sehingga kehilangan rumah, berhak mengetahui punca sebenar letupan, siapa yang bertanggungjawab, adakah terdapat kelemahan sistem dan sama ada tragedi ini boleh dielakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, tambahnya, MCA mengalu-alukan kenyataan Kerajaan Negeri Selangor untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membuat penilaian susulan dan cadangan pembaharuan dasar ekoran hasil siasatan kejadian tersebut.

Namun, beliau menegaskan, skop impak bencana itu merangkumi keselamatan negara dan sistem pemantauan infrastruktur yang sukar ditangani sepenuhnya hanya melalui jawatankuasa peringkat negeri semata-mata.

Apatah lagi, ujarnya, penduduk berdekatam kawasan bencana itu khususnya, kini hidup dalam kegusaran setiap hari kerana kebimbangan sama ada mereka tinggal di kawasan berisiko letupan seterusnya.

“Walaupun laporan menyatakan beberapa isu teknikal seperti pemendapan tanah dan kelemahan struktur, namun ia tidak menyenaraikan kawasan berisiko tinggi di seluruh negara secara jelas, dan tidak juga menjelaskan bagaimana paip jenis lain akan diuji dan dibaiki,” katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo