NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lawatan Anwar: Potensi pelaburan atau gimik diplomasi?



Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan Perdana Menteri yang pasif.

Sejak memegang tampuk kuasa pada penghujung 2022, beliau aktif menggerakkan diplomasi ekonomi dengan terbang dari satu benua ke benua lain dengan misi besar membawa masuk pelaburan asing.

Rakyat sering disajikan angka-angka besar yang diuar-uarkan selepas setiap lawatan rasmi.

Ketika menjawab soalan di Parlimen pada akhir tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata,  lawatan Perdana Menteri ke 22 negara sejak November 2022 berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM436.2 bilion kepada negara.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 39 lawatan dilakukan Anwar serta delegasi kerajaan ke Arab Saudi, Australia, Bangladesh, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Mesir, Pakistan, Qatar, Rusia, Laos, China, Singapura, Thailand, Turkiye, Uzbekistan dan Vietnam.

Angka potensi pelaburan mampu memberi ilusi bahawa Malaysia bakal menjadi lubuk emas Asia Tenggara.

Namun, kita harus jujur bertanya, adakah angka-angka ini sekadar gimik retorik atau benar-benar berakar pada komitmen pelaburan sebenar? Sejauh mana `potensi’ ini menjadi realiti yang dirasai rakyat dalam bentuk peluang pekerjaan, teknologi baharu dan limpahan ekonomi?

Realitinya, kebanyakan pengumuman ini adalah pada tahap memorandum persefahaman (MoU) atau surat hasrat, bahasa korporat yang halus tetapi tidak mengikat secara undang-undang.

Ini diakui sendiri Anwar yang dalam kenyataan selepas lawatan ke Itali menyebut bahawa kerajaan menggesa pelabur supaya “menyegerakan tindakan konkrit agar dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.” 

Ia adalah pengakuan terbuka bahawa angka yang diumumkan belum pun masuk dalam bentuk modal sebenar. Media seperti The Star dan Sinar Harian juga melaporkan bahawa pelaburan ini masih pada peringkat komitmen awal, belum ada angka jelas tentang realisasi projek di lapangan.

Seorang penganalisis ekonomi, Dr Yeah Kim Leng dari Sunway University, pernah dihubungi Reuters pada April lalu berhubung isu pelaburan luar yang diumumkan oleh kerajaan. Beliau mengingatkan bahawa walaupun angka potensi pelaburan itu besar, faktor dalam negara seperti kos operasi dan dasar fiskal akan menentukan sama ada ia benar-benar berlaku.

Katanya: “Pelabur luar memerhati kestabilan dasar dan kos operasi. Angka besar tidak menjamin realisasi jika isu dalaman tidak ditangani.” Kenyataan ini adalah realiti yang sukar dielakkan.

Dalam isu tarif elektrik sebagai contoh, laporan Reuters pada 1 Julai lalu melaporkan kos tenaga yang meningkat di Malaysia kini menjadi hambatan besar kepada pelabur, terutama dalam sektor pusat data yang memerlukan tenaga tinggi.

Pelabur dalam sektor ini, yang sebelum ini dilihat sebagai harapan baharu negara untuk menarik teknologi dan pelaburan berkualiti tinggi, sedang menilai semula komitmen mereka.

Perkara seperti ini memberi bayangan bahawa masalah struktur ekonomi kita tidak boleh ditutup dengan angka pelaburan yang gah semata-mata.

Tidak dinafikan, usaha Anwar membuka pintu diplomasi ekonomi adalah sesuatu yang perlu dipuji. Namun, keghairahan mengumumkan angka pelaburan yang belum nyata ibarat menjual mimpi sebelum tidur. 

Apa guna MOU dan surat hasrat jika tiada pelaksanaan dalam bentuk kilang didirikan, peluang pekerjaan tercipta dan ekonomi tempatan menerima suntikan? Rakyat sudah letih mendengar angka, mereka mahu melihat tindakan.

Inilah masa untuk kerajaan menilai semula pendekatan ini. Jangan hanya mengejar publisiti selepas lawatan luar negara, tetapi wujudkan satu sistem pemantauan yang telus. Caranya ialah mengumumkan secara berkala jumlah pelaburan yang benar-benar masuk, berapa projek yang sudah bermula dan berapa peluang kerja yang terhasil. Bukan lagi sekadar mengumpul kertas MoU dalam fail pejabat atau menjadikan angka sebagai alat propaganda politik.

Jika Perdana Menteri benar-benar serius mahu menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama rantau ini, fokus perlu diberikan terhadap kerja rumah dalam negeri. 

Selesaikan masalah kos operasi yang kian mencengkam pelabur. Permudahkan proses kelulusan projek. Pastikan dasar cukai dan tenaga lebih stabil dan mesra pelabur. Pelaburan bukan sekadar urusan di meja rundingan luar negara, tetapi bermula dengan sebaik mana kita mengurus rumah tangga ekonomi kita sendiri.

Akhirnya, pelaburan yang benar adalah pelaburan yang terasa di tanah air ini, bukan sekadar diucapkan di pentas persidangan atau tersiar di muka depan media.


Sumber | TV Pertiwi







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo