KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan pembangunan Kota Madani bukan projek elitis, tetapi merupakan keperluan dan pelaburan masa depan.
Naib Ketuanya, Dr. Taufiq Johari berkata, Kota Madani juga bukan sekadar projek fizikal, tetapi sebahagian daripada rangka pembangunan bersepadu yang bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat rujukan ekonomi digital, hijau dan mampan.
Selain itu, tambah Ahli Parlimen Sungai Petani berkenaan, projek tersebut juga bertujuan menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam sektor baharu yang berkualiti.
Dalam masa sama, ujar beliau, projek itu bakal menyediakan ruang inovasi dan peluang pekerjaan kepada generasi muda serta mengurangkan beban permintaan kuarters penjawat awam yang kini amat terdesak.
“Kerajaan tidak membina mercu tanda semata-mata, tetapi menyediakan ekosistem ekonomi baharu yang memberi manfaat jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyifatkan pembangunan Kota Madani sebagai projek elitis ketika rakyat kebanyakan sedang terdesak.
Afnan Hamimi turut mempersoalkan penglibatan anak syarikat Petronas, Putrajaya Holdings sebagai pemacu utama projek itu dalam keadaan keuntungan syarikat terbabit yang merosot serta di sebalik pengurangan tenaga kerja dan tekanan pelaburan dalam sektor ESG (alam sekitar, sosial, tadbir urus).
Sementara itu, Taufiq berkata, Putrajaya Holdings adalah sebahagian daripada strategi komersial syarikat, bukan paksaan politik.
Ujar beliau, anak syarika Petronas itu terlibat atas dasar viabiliti perniagaan dengan peluang mencipta pulangan mampan melalui pembangunan hartanah dan ekosistem yang berdaya saing.
Tambahnya, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan Petronas sebagai syarikat milik negara yang berintegriti dan tidak sesekali menjadikan Petronas sebagai ‘ATM politik’ seperti yang didakwa.
“Pembinaan Kota Madani tidak melibatkan wang rakyat tetapi ia ditanggung sepenuhnya oleh pemaju yang mana merupakan pelaburan strategik, bukan pembaziran.
“Kita perlu berani membina masa depan, bukan sekadar mengekalkan status quo.
“Justeru, kerajaan kekal komited untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi, dan membangunkan negara dengan hala tuju yang lestari dan inklusif,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Madani tidak mahu mengulangi kegagalan seperti yang berlaku di Kedah dan Kelantan di bawah pentadbiran Pas.
Katanya, kerajaan Pas di negeri itu mengumumkan pelaburan tetapi gagal melaksanakannya, tidak menyediakan asas ekonomi kukuh untuk menarik pelaburan sebenar dan mengabaikan infrastruktur asas yang menjadi asas pertumbuhan ekonomi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment