KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Ia termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan, agar selari dengan kehendak Perlembagaan dan selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi negara, kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kerajaan Madan akan terus memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan keperluan menjaga ketenteraman serta keselamatan awam. Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman, teratur dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam prosiding yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Dalam penghakimannya, Tengku Maimun menegaskan subseksyen 9(5) melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) serta prinsip kesamarataan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Kes ini berpunca daripada permohonan yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi, yang mencabar kesahan peruntukan itu susulan pendakwaan terhadapnya menganjurkan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ tanpa memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal.
Namun, Tengku Maimun menjelaskan cabaran perlembagaan ini hanya ditujukan terhadap hukuman dalam subseksyen 9(5), bukan terhadap keperluan pemberian notis seperti diperuntukkan dalam subseksyen 9(1).
Saifuddin berkata, kerajaan sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara.
Sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan telah diadakan dan 98 peratus daripadanya berlangsung tanpa sebarang sekatan.
Pada 2024, angka itu meningkat kepada 99 peratus daripada lebih 7,000 perhimpunan menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam menggunakan hak untuk berhimpun secara aman dan bertanggungjawab.
Isu kebebasan berhimpun ini telah diberi perhatian serius oleh perdana menteri selaku peneraju utama agenda reformasi Kerajaan Madani apabila beliau t mengumumkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di Bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan hak berhimpun.
Sejajar dengan komitmen tersebut, KDN juga akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen yang akan datang. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment