NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ECRL: Syarikat tempatan raih kontrak RM18.57 bilion

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berucap pada Majlis Penembusan Terowong Serendah 2 di ECRL Serendah, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 1 JULY 2025.


SERENDAH – Syarikat tempatan yang terlibat dalam projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meraih kontrak bernilai RM18.57 bilion untuk tempoh antara 2017 hingga Mei 2025. 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu sekaligus mengatasi sasaran awal iaitu RM10.8 bilion yang ditetapkan bagi pembangunan projek itu. 

Katanya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) telah bersetuju meningkatkan penyertaan 40 peratus lantikan subkontraktor dan pembekal tempatan. 

Ia tidak termasuk kerja-kerja terowong yang telah termaktub di dalam Perjanjian Tambahan Kontrak EPCC bertarikh 12 April 2019.

“Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 3,300 syarikat tempatan  telah terlibat dalam pembinaan projek ECRL terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dari tahun 2017 hingga bulan Mei 2025.

“Bagi penglibatan syarikat bumiputra pula RM3.4 bilion atau 97.14 peratus dari sasaran RM3.5 bilion kerja-kerja sivil telah diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputra,” katanya ketika berucap pada  Majlis Penembusan Terowong Serendah 2, di sini, hari ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak bersama Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo.

Beliau yang juga Pengerusi MRL berkata, projek mega itu adalah inisiatif nasional yang berperanan sebagai tulang belakang sistem pengangkutan antara Lembah Klang, bandar utama, dan taman perindustrian di Pantai Timur. 

“Sehubungan itu, MRL dan CCC akan terus berganding bahu memastikan sebanyak mungkin nilai kontrak disalurkan kepada syarikat tempatan dan bumiputera sehingga projek ECRL disiapkan sepenuhnya. 

“Kita juga komited dalam memperkukuh dan mempertingkatkan kebolehpercayaan sistem pengangkutan yang moden, efisien dan mesra alam selain berperanan merangsang daya saing ekonomi pada masa hadapan,” jelasnya.

Tambah Shamsul Azri, projek ECRL kini mencatatkan pencapaian terbaik menerusi penembusan Terowong Serendah 2 sepanjang 9.88 kilometer (km) hanya dalam masa enam bulan, lebih awal daripada jadual asal. 

“Penembusan Terowong Serendah 2 menandakan terowong ke-40 berjaya ditembusi sepanjang jajaran projek 665km ini dan ia merupakan terowong kedua terpanjang dalam jajaran ECRL menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Kerja-kerja pengorekan terowong ini menggunakan kaedah ‘New Austrian Tunnelling Method’ (NAPM) yang melibatkan penggerudian serta letupan bagi menembusi granit lapuk dan ia dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2026,” ujarnya. 

Pembinaan Terowong Genting sepanjang 16.39 km merupakan terpanjang di Asia Tenggara bagi projek ECRL berjalan lancar dengan penembusan terowong dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2025. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo