BALIK PULAU – Sebanyak 23.6 juta akaun pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan pelaksanaan tarif elektrik baharu yang bermula hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tarif asas baharu yang diperkenalkan akan menyaksikan penurunan purata kos elektrik sehingga 19 peratus berbanding tempoh sebelum ini.
Katanya, pengguna yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt jam (kWj) dijangka akan terus menikmati kadar bil sedia ada, malah berkemungkinan menyaksikan pengurangan.
“Semua akaun TNB yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt jam dijangka bukan hanya bil akan kekal, malah berkemungkinan akan turun. Jadi ini berdasarkan apa yang telah diterbitkan oleh TNB.
“Kita jangkakan bagi kebanyakan isi rumah, kita akan saksikan sama ada tarifnya, bilnya sama ataupun berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Menara (MOCN) 4G 6 Hala YES Tanjung Asam, Gertak Sanggul di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, antara reformasi yang dilaksanakan Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) adalah memperkenalkan waktu puncak penggunaan elektrik antara pukul 2 petang hingga 10 malam.
Katanya, pengguna digalakkan menggunakan peralatan elektrik berkuasa tinggi di luar waktu puncak bagi mengoptimumkan penjimatan tenaga.
Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan, pelaksanaan jadual tarif baharu yang diluluskan kerajaan akan memastikan kadar elektrik lebih adil, progresif dan mampu milik kepada lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.
Penetapan tarif itu akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut Kerangka Kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Perubahan tarif elektrik di bawah tempoh Regulatori Keempat (RP4) itu melibatkan penstrukturan semula tiga komponen utama iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.
Sementara itu, Fahmi turut menegaskan bahawa kerajaan akan bertindak segera terhadap sebarang aduan berhubung pencatutan atau manipulasi harga susulan pelaksanaan tarif baharu itu.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 4.0 serentak hari ini bagi membanteras aktiviti berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment