PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan rayuan Peguam Negara terhadap keputusan terdahulu berkaitan titah adendum.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan demikian secara sebulat suara dan menetapkan rayuan Peguam Negara didengar esok.
Turut bersidang, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Mahkamah berpuas hati tiga persoalan pertama yang dibangkitkan iaitu berkaitan keterangan baharu merupakan isu undang-undang yang memerlukan pertimbangan lanjut mahkamah.
Menurut panel itu, persoalan keempat hingga keenam pula, berkaitan peranan Peguam Negara, khususnya mengenai kegagalan untuk memfailkan afidavit jawapan pada peringkat permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman.
Katanya, responden (Najib) juga menghujahkan bahawa soalan keempat hingga keenam adalah cubaan Peguam Negara untuk mengelak daripada tanggungjawab yang dikenakan ke atas pihak berkuasa awam atau Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman.
“Kami tidak pasti sama ada tanggungjawab sedemikian boleh dikenakan ke atas Peguam Negara pada peringkat awal prosiding semakan kehakiman.
“Isu itu juga melibatkan sama ada titah adendum adalah perkara pokok yang boleh disemak oleh mahkamah ini berkaitan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (kuasa untuk memberi pengampunan).
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa semua soalan yang dikemukakan oleh Peguam Negara bukan bersifat akademik atau hipotesis. Persoalan ini adalah relevan dengan Artikel 42,” ujar beliau.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Mahkamah Persekutuan tiada bidang kuasa mendengar rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan terdahulu yang membenarkan bekas Perdana Menteri memulakan semakan kehakiman.
Hujah beliau, tujuh persoalan undang-undang yang dibangkitkan dalam rayuan itu bersifat hipotetikal dan tidak disokong oleh fakta kes yang kukuh.
Menurut Muhammad Shafee, bukan setakat itu, persoalan yang dikemukakan adalah akademik kerana telah dijawab dan ditentukan oleh mahkamah terdahulu.
Oleh yang demikian, beliau berpendirian, panel berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar persoalan undang-undang yang bersifat hipotetikal.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhujah agar bantahan awal itu ditolak kerana kebenaran merayu telah dibenarkan dan tidak wajar bagi mahkamah itu untuk menilai semula isu yang telah dibangkitkan sebelum ini.
Hujah beliau, isu yang dikemukakan oleh peguam dalam bantahan awal itu sudah dihujahkan di peringkat Mahkamah Tinggi dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman.
Katanya, pihak Peguam Negara mempunyai hak untuk membentuk persoalan undang-undang berkepentingan awam berkaitan prinsip bukti tambahan dalam semakan kehakiman.
Peguam Negara mengemukakan tujuh persoalan undang-undang dalam rayuan itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Persoalan yang dikemukakan itu penting dan memerlukan penentuan mahkamah untuk memberikan panduan kerana subjek utama dalam semakan kehakiman melibatkan pelaksanaan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Pada prosiding 28 April lalu, panel sama membenarkan Peguam Negara merayu keputusan itu dengan membenarkan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam dihujahkan dalam rayuan.
Panel itu berpuas hati, persoalan undang-undang tersebut belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Koram itu turut membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong kewujudan titah adendum.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment