KUALA LUMPUR – Sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah yang masih menjadi pertikaian maritim seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tegas.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia mesti berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan tidak boleh dalam apa jua bentuk dianggap sebagai penyerahan hak kedaulatan.
Sehubungan itu, tambah beliau, apa-apa pengumuman niat untuk pembangunan bersama tanpa kejelasan syarat, tanpa mandat Parlimen dan tanpa jaminan terhadap hak negeri Sabah merupakan langkah cuai yang boleh membawa kesan jangka panjang terhadap tuntutan sah Malaysia.
“Rakyat juga berhak bertanya adakah terdapat klausa yang membenarkan Malaysia menarik diri jika haknya dinafikan?
“Adakah Sabah dijamin bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut?
“Atau adakah tindakan ini hanya akan mengukuhkan tuntutan Indonesia melalui “pengiktirafan tersirat” dalam perjanjian pembangunan bersama?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, minggu lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan berhubung persetujuan kedua-dua negara melaksanakan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) di Blok Ambalat seperti dilaporkan tersebut.
Katanya, sehingga kini, tiada penjelasan secara terperinci mengenai perjanjian tersebut dibuat oleh kerajaan.
“Benarkah Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam Perjanjian Pembangunan Bersama ini?
“Apakah terma-terma perjanjian ini? Tidakkah ia tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dalam tuntutan kedaulatan ke atas Ambalat?
“Oleh kerana pertikaian mengenai Ambalat melibatkan sempadan negeri Sabah, adakah negeri Sabah telah dirunding sebelum perjanjian pembangunan bersama dipersetujui Malaysia dan Indonesia?” katanya.
Tegas Muhyiddin, sebarang kerjasama yang melibatkan wilayah pertikaian mesti ditangguhkan sehingga sempadan diputuskan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau mana-mana saluran undang-undang yang diiktiraf.
Jelasnya, negara tidak boleh membenarkan tindakan hari ini menjadi duluan berbahaya untuk masa depan dan implikasi serius jangka panjang terhadap kedaulatan negara.
“Hak dan maruah negara tidak boleh diperjudikan. Rakyat berhak menuntut penjelasan, jaminan dan keterlibatan penuh dalam sebarang keputusan yang menyentuh kedaulatan negara.
“Apa-apa tindakan yang melanggar hak dan kedaulatan negara boleh dianggap suatu penderhakaan kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment