NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa bukti Anwar campur tangan pelantikan kehakiman -AMK



KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri mempunyai isu undang-undang peribadi, adalah satu tuduhan rambang, tidak berasas dan tidak bersandarkan fakta konkrit.

Itu kenyataan yang dikeluarkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim bagi menjawab dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu, semalam.

Tegasnya, isu pelantikan kehakiman tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes sivil melibatkan Perdana Menteri seperti yang didakwa Muhyiddin.

Jelas beliau, sistem kehakiman yang bebas seharusnya membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa sebarang campur tangan daripada pihak eksekutif, dan ini sedang berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Hakikat bahawa seorang Perdana Menteri sedang melalui proses undang-undang sivil adalah petanda kukuh bahawa badan kehakiman berfungsi dengan bebas.

“Ini membuktikan tiada sesiapa yang kebal di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai tindakan Perdana Menteri merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan dalam kes sivil yang sedang berjalan, Kamil menjelaskan bahawa ia adalah hak undang-undang kepada semua individu dan tidak wajar dianggap sebagai konflik kepentingan.

“Menganggapnya sebagai ‘tidak pernah berlaku’ atau satu bentuk campur tangan adalah tafsiran dangkal yang memalukan, terutama datang daripada seorang ahli Parlimen veteran seperti Muhyiddin,” katanya lagi.

Kamil menegaskan bahawa sehingga kini, tiada bukti yang menunjukkan Perdana Menteri telah mencampuri atau melanggar mana-mana peruntukan berkaitan kehakiman.

Beliau turut menyelar tindakan Muhyiddin yang menggunakan kenyataan beberapa ahli Parlimen sebagai hujah kononnya Anwar kehilangan kepercayaan dalam kalangan wakil rakyat kerajaan.

“Pandangan ahli Parlimen kerajaan terhadap dasar atau pendekatan pentadbiran bukan bukti hilang kepercayaan. Sebaliknya, ia menunjukkan betapa kerajaan hari ini meraikan perbezaan pendapat dalam suasana demokrasi matang.

“Ini berbeza dengan pendekatan Muhyiddin yang pernah menutup Parlimen demi mengelakkan cabaran,” katanya lagi.

Beliau juga menyangkal dakwaan kononnya dasar-dasar seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau kenaikan tarif elektrik sebagai usaha memperkukuh cengkaman terhadap institusi negara.

Jelasnya, dasar-dasar tersebut adalah keputusan pentadbiran berdasarkan pertimbangan fiskal, bukannya muslihat politik.

“Naratif yang cuba dibina Muhyiddin ini merupakan satu bentuk retorik politik tidak bertanggungjawab yang bertujuan menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi negara,” tegas beliau.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat tidak terperangkap dalam mainan politik kotor yang hanya mencetuskan ketidakstabilan demi kepentingan peribadi. -MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo