KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Ini supaya perkataan Islam tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.
Titah itu dikeluarkan Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.
“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam,” titah Sultan Sharafuddin yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office
Baginda turut menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS, pertubuhan atau institusi sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Sultan Sharafuddin senada dengan isi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung keputusan mahkamah hari ini.
Pengerusi MAIS Senator Datuk Seri Salahuddin Saidin berkata, majlis itu dukacita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.
“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya.
Majlis itu komited untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi Raja bagi memperkasa perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan sebagai agama Persekutuan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment