KUALA LUMPUR – Lokasi kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) pada 9 Jun lalu merupakan antara seksyen yang telah dikenal pasti untuk kerja naik taraf tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja naik taraf bukan sahaja melibatkan penurapan semula jalan dan pembaikan infrastruktur sedia ada.
Malah turut merangkumi pemasangan lampu jalan serta pengenalpastian kawasan berisiko tinggi kemalangan (black spot) di laluan berkenaan.
Katanya, laluan tersebut yang merangkumi Jalan Persekutuan FT04 dari Gerik ke Jeli telah menerima pelbagai inisiatif penambahbaikan sejak tahun lalu.
“Pada Jun 2023, sebanyak RM30 juta telah diluluskan untuk membina semula sebahagian laluan JRTB. Kemudian pada Ogos tahun sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf jalan itu,” katanya dalam sidang media kelmarin.
Menurutnya, peruntukan itu telah digunakan untuk kerja-kerja menurap semula jalan, pembaikan kemudahan termasuk jambatan, lampu jalan dan lampu isyarat di kedua-dua arah laluan.
Kerja naik taraf berkenaan dilaksanakan secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 membabitkan kos keseluruhan RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan yang dinilai melalui Pavement Condition Assessment (PCA).
“Bagi tahun 2024 pula, sebanyak RM7.2 juta lagi diperuntukkan untuk pelbagai kerja pembaikan di beberapa seksyen lain laluan tersebut dan untuk tahun 2025, satu lagi peruntukan RM55 juta telah diagihkan.
“Buat masa ini, kita telah menyelesaikan PCA yang merupakan penilaian teknikal terhadap keadaan jalan menggunakan teknologi seperti multi laser profiler, falling weight deflectometer, dynamic cone penetrometer dan trial pit.
“Maknanya, kerja-kerja yang akan dilakukan bukan sembarangan tetapi berdasarkan laporan penilaian. Jika laporan mencadangkan perlunya structural rehabilitation maka kerja itu akan dijalankan,” ujarnya.
Mengulas insiden kemalangan yang berlaku, beliau berkata, walaupun siasatan polis masih berjalan, kementeriannya telah menerima pelbagai maklum balas netizen berkaitan kondisi laluan FT04 seperti yang tular di media sosial.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus komited dalam memastikan infrastruktur jalan raya adalah selamat dan selesa untuk pengguna.
“Namun keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk pengguna itu sendiri,” tambahnya.
Nanta juga menekankan pelaksanaan projek naik taraf jalan FT04 bukan hanya kerana insiden kemalangan baru-baru ini sebaliknya ia merupakan perancangan berfasa sejak tahun 2023.
“Jadi, saya harap netizen faham. Kita ada had peruntukan setiap tahun, jadi kita kena beri keutamaan mengikut keperluan dan berdasarkan penilaian teknikal JKR dan KKR,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment