KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan berpendirian, rayuan SIS Forum (Malaysia) tiada kaitan dengan intipati, pegangan mahupun doktrin berkaitan kepercayaan agama Islam.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya menyatakan, semakan kehakiman yang difailkan syarikat itu hanya melibatkan kajian terhadap pelaksanaan kuasa pihak berkuasa agama negeri Selangor berkaitan undang-undang tertentu.
Dalam penghakiman penuh yang dikeluarkan kelmarin, beliau berkata, meskipun rayuan itu berkaitan fatwa yang dikeluarkan terhadap SIS Forum, cabaran undang-undang yang dikemukakannya tiada kena mengena dengan kepercayaan atau pentadbiran substantif dalam agama Islam.
Jelas Ketua Hakim Negara, pihak berkuasa agama Islam Selangor sama seperti organ Eksekutif lain yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru katanya, semakan kehakiman adalah sesuatu yang rutin dilakukan terhadap cabang Eksekutif jika keputusan atau tindakan yang dilakukan, tanpa mengikut budi bicara.
Ketua Hakim Negara menyatakan demikian ketika membenarkan sebahagian rayuan SIS Forum terhadap pihak berkuasa agama Islam negeri Selangor berhubung pertikaian fatwa yang mengisytiharkan ia menyeleweng dari ajaran Islam.
Penghakiman penuh setebal 40 muka surat yang diperoleh pihak media hari ini `menjawab’ keresahan pelbagai pihak terhadap keputusan rayuan yang diumumkan kelmarin.
Pada prosiding Khamis lalu, Tun Tengku Maimun mengumumkan keputusan majoriti 3-1 yang turut dicapai bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Nallini Pathmanathan manakala Datuk Abu Bakar Jais mencapai keputusan menentang dan menolak rayuan itu.
Dalam penghakiman bertulisnya, Ketua Hakim Negara selanjutnya menjelaskan, pihak berkuasa agama (responden) menghujahkan, rayuan perayu adalah pramatang kerana belum ada pertuduhan dikemukakan terhadap SIS Forum di Mahkamah Syariah, namun panel itu tidak bersetuju dengan isu yang diperbalahkan.
Dalam penghakiman itu, Tun Tengku Maimun menjelaskan, masih wujud pertikaian berhubung bidang kuasa mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah yang menyentuh isu berkaitan Islam.
Ujar beliau, nas undang-undang terdahulu sudah mengesahkan bahawa Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan berfungsi untuk menyekat dengan betul bidang kuasa mahkamah sivil daripada mendengar perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Namun demikian, ia tidak sebaliknya meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk memasukkan kuasa kehakiman di bawah Perkara 121(1) atau di luar catatan perundangan dalam Perkara 1,” ujarnya.
“Semua kuasa undang-undang mesti mempunyai had dan
adjudikator had tersebut terletak di bawah tafsiran perlembagaan dan undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan.
“ Dilihat dari perspektif ini, jika Mahkamah Syariah bertindak di luar bidang kuasanya, ia tetap tertakluk kepada semakan kehakiman,” jelas beliau.
Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman SIS Forum dan Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya, juga diketepikan.
Mahkamah tertinggi negara berpendapat, Mahkamah Tinggi dan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan adalah salah kerana gagal mematuhi duluan kehakiman (stare decisis) iaitu prinsip yang mengikat keputusan mahkamah terdahulu.
Beliau turut mengingatkan para hakim bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan, melainkan ditolak oleh mahkamah tertinggi negara, adalah mengikat dan kegagalan mematuhinya merupakan satu penghinaan kepada pentadbiran sistem keadilan negara.
Oleh yang demikian, panel itu membenarkan sebahagian rayuan SIS Forum bahawa entiti itu yang merupakan sebuah syarikat atau mana-mana pihak di dalamnya yang tidak menganut agama Islam, tidak boleh tertakluk kepada keputusan fatwa yang diwartakan ada 31 Julai 2014.
Mahkamah berpuas hati bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen 1 Tahun 2003) serta bidang kuasa responden-responden hanya terpakai kepada individu yang menganut agama Islam.
SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dalam semakan kehakiman yang difailkan pada Oktober 2014, menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Pada 2 Disember tahun lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam-peguam SIS Forum, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth manakala Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Aidil Khalid mewakili jawatankuasa fatwa.
Yusfarizal Yussoff pula berhujah mewakili MAIS manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment