KLUANG – Pengalaman luas bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam UMNO dan kerajaan sangat diperlukan dalam usaha memperkukuh semula parti dan membantu kepimpinan negara.
Justeru kata Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid, pihaknya sekali lagi membawa usul dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu untuk Hishammuddin diterima semula.
Pihaknya kata beliau, mahukan supaya penggantungan Hishammuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu ditarik balik serta-merta tanpa syarat.
“Saya berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat menimbangkan usul ini dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di Dewan Dato Onn, Rumah Komuniti Sembrong di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan Pengerusi UMNO Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Hadir sama, Ketua Wanita, Datuk Noraslina Zainal Abidin, Ketua Pemuda, Hafiz Ariffin, Ketua Puteri, Noreha Hussin
Abdul Ghani berkata, ini merupakan tahun kedua usul berkenaan dibawa bahagian itu selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu bekas Menteri Pertahanan itu kembali aktif dalam parti.
“Ini tahun kedua. Tahun lepas pun UMNO Bahagian Sembrong membawa usul yang sama supaya penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin yang dikenakan selama enam tahun itu ditarik balik.
“Kehendak ahli-ahli di Sembrong jelas di mana mereka mahu penggantungan itu dilepaskan tanpa syarat,” katanya.
Abdul Ghani menegaskan, langkah itu dilihat penting lebih-lebih lagi dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 yang semakin hampir.
“Bagus kalau pemimpin-pemimpin seperti beliau dapat dikembalikan. Datuk Seri Hishammuddin seorang yang mempunyai aura tersendiri, khususnya di Parlimen Sembrong.
“Saya hampir pasti 100 peratus pengundi Sembrong mahukan beliau kekal sebagai calon parlimen,” ujarnya.
UMNO sebelum ini membuat pembersihan besar-besaran parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat antaranya Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Surat bertarikh 30 Januari 2022 itu ditandatangani Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertindak sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment