KUALA LUMPUR – Firma guaman yang mewakili bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther berpendirian, masyarakat tidak sepatutnya dihalang mengeluarkan komen berhubung pembebasan anak guamnya yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi semalam.
Tetuan Law Practice of Rafique menegaskan, kebebasan bersuara itu hak rakyat dan tiada siapa boleh atau perlu menjadi ejen penghalang kepada hak tersebut.
Ketika merujuk kepada kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mahukan orang awam mengelak mengeluarkan kenyataan bersifat spekulatif, firma guaman itu berpandangan, gesaan itu tidak munasabah.
“Kenyataan AGC tidak wajar kerana rakyat selaku pembayar cukai berhak untuk terus mencari keadilan dan kebenaran serta mempersoal integriti badan-badan yang terlibat dalam sistem perundangan dan penguatkuasaan negara.
“Kami menyeru agar pihak AGC terus menjadi benteng rakyat dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan keadilan tanpa melindungi sesiapa pun termasuk seorang Perdana Menteri,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyatan itu, pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.
Firma guaman itu selanjutnya menyatakan, kes pengedaran dadah dan pemilikan pistol tiruan melibatkan Muhammed Yusoff mendapat liputan meluas sejak anak guamnya ditahan pada 6 September 2024.
Ujarnya, sejak dari tarikh tersebut, telah timbul pelbagai perbahasan dan perbincangan dalam kalangan rakyat mengenai kes ini.
Kenyataan itu menyebut, tidak dinafikan sejak tarikh anak guamnya ditahan sehingga keputusan Mahkamah Tinggi semalam, pihak AGC tidak pernah menggesa atau memohon sebarang perintah mahkamah bagi menghalang orang awam daripada membincangkan kes ini.
Ujarnya, gesaan ini hanya timbul setelah mahkamah mendapati tiada kes prima facie berjaya dibuktikan oleh pendakwaan.
“Mahkamah dalam membebaskan Muhammed Yusoff Rawther, antara lainnya menyatakan kegagalan dua pegawai penyiasat (SP12 & SP13) menyemak versi tertuduh bahawa dia mangsa perangkap oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.
“Kaitan Dato Seri Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador adalah kukuh dalam rekod prosiding mahkamah dan ia bukan lagi persepsi mahupun spekulasi sebaliknya wujud dalam kertas siasatan polis.
“Adakah pihak AGC kini ingin menutup mulut rakyat agar tidak mencari kebenaran dan keadilan yang sebenar dalam kes ini hanya kerana ia melibatkan individu berpengaruh?
“AGC adalah `firma guaman’ yang harus menjadi peguam bagi masyarakat dan benteng pada kepentingan orang awam (guardian of public interest),” demikian menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment