KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan daripada segi undang-undang ketika menolak permohonan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar berhujah di Mahkamah Tinggi, persoalan itu menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.
Hujah beliau, pemohon mahu merujuk antaranya Seksyen 30(5) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (‘Akta SPRM’) dan Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (‘AMLATFPUAA’).
Katanya, peruntukan yang dirujuk itu antaranya berkaitan hak isteri bekas Menteri Kewangan itu untuk berdiam diri.
Hujah beliau, pemohon telah dituduh atas dakwaan sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.
“Seksyen 32(3) AMLATFPUAA tidak mempunyai kaitan langsung dengan pertuduhan di hadapan Mahkamah Sesyen kerana tiada pendakwaan di bawah seksyen tersebut dikenakan terhadap pemohon.
“Hak untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk menyabitkan diri dalam sesuatu prosiding, hak untuk berdiam diri, anggapan tidak bersalah dan/atau hak untuk perbicaraan yang adil adalah hak-hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
“Jelas bahawa perkataan yang terkandung dalam Seksyen 30(5) Akta SPRM dan Seksyen 32(3)(b) AMLATFPUAA secara langsung bersifat memudaratkan diri sendiri, sekali gus membentuk satu serangan terus terhadap hak anak guam,” hujah beliau.
“Anak guam bukan suspek dalam siasatan, sebaliknya diminta membantu siasatan terhadap arwah suaminya, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, sebagai saksi,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Gurdial menghujahkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan Na’imah untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi telah menafikan hak anak guamnya untu megesahkan kedudukan pertuduhan terhadapnya.
Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan 11 Julai ini bagi menyambung penghujahan.
Na’imah memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.
Menurut permohonan itu, jika jawapan kepada semua di atas adalah afirmatif, rekod bagi prosiding kemudiannya akan dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na’imah merujuk ke Mahkamah Tinggi, persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan balu bekas Menteri Kewangan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.
Pada 29 Februari tahun lalu, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM serta Seksyen 32(3)(b) AMLATFPUAA 2001 ke Mahkamah Tinggi.
Azura dalam alasan ringkasnya berkata, mahkamah bersetuju hujahan pendakwaan bahawa permohonan berkaitan Seksyen 32(3)(b) AMLATFPUAA adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah kerana tiada pendakwaan dibuat terhadap pemohon di bawah seksyen itu. – MalaysiaGazatte
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment