NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harta wakaf Kolej Islam Malaya hampir RM10 bilion didakwa disalahgunakan



KUALA LUMPUR – Aset wakaf milik Kolej Islam Malaya (KIM) yang dianggarkan bernilai hampir RM10 bilion didakwa telah disalahgunakan termasuk dilaburkan ke dalam saham syarikat perjudian dan nombor ekor.

Setiausaha Ahli Jawatankuasa Selamatkan Harta Kolej Islam Malaysia, Firdaus Ahmad Azzam mendakwa, nilai keseluruhan aset itu dikatakan melebihi skandal 1MDB.

“Bayangkan betapa sedihnya sedihnya pewakaf dahulu yang mewakafkan harta untuk pendidikan dan agama, tetapi wang mereka digunakan untuk beli saham judi. 

“Ini satu pengkhianatan terhadap amanah wakaf,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Firdaus yang bercakap mewakili Persatuan Bekas Siswa Kolej Islam Malaya Selangor (PBSKIM) mempersoalkan bagaimana Kolej Islam yang sepatutnya berkembang sebagai universiti Islam akhirnya diserap ke dalam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sampai hari ini, wang dan harta itu masih dipegang LAKIM. Apa yang terjadi dengan amanah wakaf ini? Ramai tokoh termasuk ahli Parlimen sejak tahun 1978 mempersoalkan kedudukan aset ini,” soalnya.

Firdaus turut menyatakan kebimbangannya terhadap gangguan yang berlaku ketika siasatan sedang dijalankan.

“Pegawai penyiasat kata kes ini sangat ‘solid’. Tapi bila mereka mula hubungi pihak-pihak tertentu untuk dapatkan kenyataan, tiba-tiba ada ‘gangguan’. 

“Saya sendiri tidak dapat hubungi pegawai itu lagi. Macam kes ini ghaib… seperti hilangnya KIM itu sendiri,” dakwanya.

Selain itu, perintah mahkamah dikatakan telah memberi kuasa ke atas aset-aset wakaf diperoleh kepada pihak bukan dilantik oleh Majlis Raja-Raja, iaitu individu tertentu yang mendakwa diri sebagai pengurus amanah.

“Dia telah guna nama KIM yang kononnya dah dibubarkan, sedangkan Majlis Raja-Raja tak pernah bubarkan. 

“Perintah itu kemudian jadi asas bentuk lembaga baru dan akhirnya mereka urus semua aset atas nama ‘amanah pendidikan’, tapi yang berlaku ialah urus niaga perniagaan.

“Surat amanah asal menyebut matlamat untuk menubuhkan universiti Islam tetapi matlamat itu kemudiannya ditukar kepada perniagaan dan pelaburan komersial, termasuk hartanah dan pegangan syarikat,” tambahnya.

Menurutnya, managing trustee ini dipegang oleh waris berkaitan, yang mana bapa serah kepada anak, anak serah kepada cucu dan akhirnya ia seakan menjadi milik peribadi. 

Pihaknya mendapati banyak aset wakaf milik KIM termasuk di Cyberjaya, Johor Bahru, Jalan Kasipillay dan Shah Alam sudah dijual atau dialih milik.

Persatuan itu juga mendakwa mereka ada bukti yang menunjukkan transaksi melibatkan penjualan tanah wakaf kepada pihak luar, termasuk pembinaan kondominium dan kampus universiti swasta atas tanah asal wakaf.

Dalam pada itu, Penasihat Jawatankuasa Selamatkan Harta Kolej Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad menyifatkan isu ini sebagai skandal besar umat Islam yang telah berlarutan sejak penubuhan kolej itu pada 1955.

“Wang amanah atau wakaf Kolej Islam itu menjadi misteri. Menjadi suatu rahsia. Tak tahu ke mana perginya.

“Penubuhan lembaga amanah itu pun suatu misteri. Siapa yang menubuhkannya? Kuasa mana yang menubuhkannya?,” soalnya.

Menurutnya, perjuangan menyelamatkan aset wakaf ini bukan isu peribadi tetapi amanah umat Islam secara kolektif yang wajib dipertahankan.

“Kita tidak mahu harta benda KIM disalahgunakan, dijadikan milik atau kepentingan sesuatu pihak tertentu,” tegasnya.

Perbicaraan pertama bagi kes ini akan diadakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 16 Jun ini.

Beliau menyeru pihak berkuasa, media dan masyarakat agar tidak membiarkan isu ini terus tenggelam.

“Hal ini bukan sekadar isu sejarah atau pendidikan. Ini soal harta wakaf dan amanah umat. Jika kita diam, kita bersubahat,” katanya. 

Setakat ini, tiga laporan polis telah dibuat persatuan itu sejak tahun 2019 dan paling terkini adalah pada hari ini bertarikh 13 Jun di IPD Klang Selatan.

KIM merupakan inisiatif Majlis Raja-Raja Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan hanya beroperasi hanya 15 tahun sebelum ditutup secara misteri pada tahun 1970.

Namun pada tahun 1970, Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran Malaysia pada ketika itu telah mengarahkan agar KIM dijadikan sebahagian daripada Fakulti Pengajian Islam di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Tindakan ini mencetuskan kontroversi kerana Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kuasa ke atas KIM memandangkan kolej itu secara rasmi diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo