Peguam kepada seorang ahli perniagaan di sebalik beberapa rakaman video ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah membincangkan habuan mencecah jutaan ringgit memberi amaran kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak melakukan pendakwaan terpilih, selepas Ketua Pesuruhjaya Azam Baki memberi bayangan hanya "satu atau dua" akan didakwa tidak lama lagi.

Mahajoth Singh berkata kenyataan Azam mencetuskan kebimbangan oleh kerana wujud "bukti jelas dan konsisten" terhadap sekurang-kurangnya lapan individu lain.
"SPRM tidak boleh dilihat memilih-milih kes mana yang perlu diteruskan. Prinsip kesaksamaan undang-undang memerlukan setiap individu, tidak kira pangkat, kedudukan politik atau jawatan, disiasat dan didakwa sekiranya wujud bukti yang boleh dipercayai.
"Jika tidak, ia merupakan penyelewengan daripada kedaulatan undang-undang," katanya.
Kenyataan Azam dibuat lebih tiga bulan selepas bekas bos beliau, Latheefa Koya, mendedahkan beliau menerima video penuh yang tidak disunting melibatkan skandal rasuah lesen mineral Sabah membabitkan Ketua Menteri Hajiji Noor dan beberapa Adun negeri itu.
Klip-klip tersebut diserahkan kepada SPRM bersama-sama laporan difailkan peguam bagi pihak ahli perniagaan itu yang menggunakan nama samaran Albert.
Sebelum ini, permohonan Albert untuk diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat rasuah ditolak Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Hajiji merupakan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang tidak sehaluan dengan pemimpin Umno negeri itu. Dalam usaha untuk terus kekal memerintah selepas pilihan raya umum lalu, beliau membawa GRS menyokong kerajaan campuran Anwar.
Video yang melibatkan Hajiji dan beberapa individu lain pertama kali dilaporkan portal berita Malaysiakini akhir tahun lalu, dan kemudiannya diterbitkan secara bersiri.

Susulan itu, Azam, yang diberikan lanjutan tempoh jawatannya di SPRM buat kali ketiga di tengah-tengah beberapa siasatan kontroversi yang menyasarkan seteru politik Anwar, mendakwa video tersebut telah disunting dan oleh itu tidak cukup kuat untuk dijadikan bukti.
Pada 11 Mac, Latheefa berkata alasan video disunting tidak lagi relevan kerana versi penuh video sudah pun diserahkan kepada SPRM.
Sementara itu, Mahajoth mempersoalkan SPRM yang dilihat lembab dalam menjalankan siasatan dengan hanya "kemas kini separuh" diumumkan.
"Pendedahan sedikit demi sedikit ini lebih bersifat naratif terurus daripada usaha mencari keadilan.
"Bila lagi mereka yang dihadapkan bukti jelas akan dibawa ke muka pengadilan?" soalnya.
Beliau berkata Albert telah mengemukakan dokumen termasuk rakaman video yang tidak disunting dan lebih 300 muka surat mengandungi bukti, log panggilan dan pesanan WhatsApp.
"Bahan bukti ini melibatkan jaringan individu yang lebih luas dalam perbuatan rasuah," tambahnya.

Beliau berkata Albert telah mengorbankan keselamatan dirinya dengan harapan dapat membantu pihak berkuasa memerangi rasuah.
"Jika individu yang terpalit bukti yang jelas terlindung daripada akauntabiliti, ia menghantar mesej yang amat mengecewakan kepada pemberi maklumat di masa akan datang: iaitu kerjasama (memerangi rasuah) mengundang risiko, manakala yang bersalah dilindungi.
"Integriti penyiasatan ini bukan bergantung pada pendakwaan terpilih, tetapi pada penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan tanpa rasa gentar. Itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia dan itulah yang diperlukan dalam mencari keadilan."
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment