SHAH ALAM - DAP membidas kenyataan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang mendakwa parti itu dilihat ‘semakin jinak’ selepas bekerjasama dengan UMNO dalam kandang Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH).
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, sepanjang penubuhan parti selama 59 tahun, DAP kekal berprinsip dan konsisten dalam perjuangan membina Malaysia yang lebih baik untuk rakyat, tanpa pernah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, DAP berkali-kali menyatakan komitmen terhadap asas-asas utama negara, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak, Islam sebagai agama Persekutuan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
“Pada masa sama, DAP juga memperjuangkan kepentingan sah kaum dan komuniti lain di negara ini, termasuk hak sivil serta politik rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami menghormati perjuangan rakan dalam gagasan, namun turut menuntut supaya perjuangan kami dihormati. Kami tidak pernah menunggang dan tidak akan ditunggang. Dalam semua kerjasama yang DAP jalinkan, kami berpegang pada prinsip saling hormat-menghormati.
“Sudah tentu wujud perbezaan antara parti dalam Kerajaan Madani, itulah lumrah demokrasi. Apa yang penting ialah kewujudan banyak titik persamaan dan perkara asas yang dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Mustapha dalam portal UMNO Online menyebut bahawa Pas sebenarnya terlebih dahulu ‘mensucikan’ DAP melalui kerjasama yang digelar 'PasDap'.
Beliau secara sinis mendakwa, Pas berusaha menjinakkan ‘kuda liar’ DAP selama tempoh ‘berPasDap’ dalam satu kandang, namun gagal ‘menunggang’ parti tersebut kerana suka ‘masuk daripada belakang’ sehingga akhirnya ditendang keluar dan mengundurkan diri.
Jelasnya lagi, kini ‘kuda liar’ DAP yang hampir jinak itu bersama UMNO dan didakwa semakin jinak dalam kandang BN-PH.
Mustapha turut menegaskan bahawa UMNO hanya bekerjasama dengan DAP dalam satu gabungan, dan tidak pernah terikat secara mutlak dengan parti tersebut.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment