ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang didakwa bersikap berat sebelah kerana hanya menegur kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah, namun berdiam diri terhadap kelewatan lebih serius di Pulau Pinang.
Muhammad Sanusi berkata, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Bayan Baru, Pulau Pinang (Fasa 2) di bawah kementerian yang sama telah diberikan lanjutan masa (EOT) sebanyak 10 kali, menyebabkan kelewatan lebih enam tahun. Sebaliknya, projek LRA Sungai Limau di Kedah hanya diberikan empat EOT.
Menurutnya, kenyataan Akmal Nasrullah itu bersifat politik semata-mata, sedangkan banyak lagi projek kerajaan lain di seluruh negara yang turut mengalami kelewatan, termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di beberapa negeri.
"Kalau di Kedah, dia susah hati, merajuk, kecewa. Tapi projek di Pulau Pinang, EOT 10 kali, patutnya dia guling-guling dah. Kena pada Pulau Pinang dia senyap, kalau Kedah dia bising. Tak boleh lah main politik macam tu, be smart," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Akmal Nasrullah melalui satu hantaran di laman sosial meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan projek LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau yang menjejaskan bekalan air kepada rakyat.
Beliau dikatakan sudah tidak mahu turun ke tapak LRA di Kedah tetapi bertanya tentang perkembangan LRA Bukit Selambau yang terbengkalai bertahun-tahun.
Pertikaman lidah antara Muhammad Sanusi dan Akmal Nasrullah berkaitan isu LRA sudah beberapa kali berlaku dengan isu tersebut sering dibangkitkan di laman sosial.
Muhammad Sanusi sebaliknya berkata, kelewatan dalam projek kerajaan merupakan perkara biasa memandangkan ia melibatkan pelbagai faktor luar kawalan seperti kenaikan harga barang, kekurangan tenaga kerja dan kelemahan kontraktor.
“Kontraktor berdepan pelbagai faktor luaran yang di luar kawalan kita. Jadi projek tergendala, ia normal. Tapi di Kedah jadi tak normal, sebab ada Sanusi,” katanya.
Sanusi menambah, jika Akmal Nasrullah ingin menangis, beliau harus menangis untuk semua projek yang lewat, bukan hanya untuk projek di Kedah sahaja.
"Itu air mata palsu orang panggil," ujarnya sinis.
Muhammad Sanusi juga mengakui terdapat masalah di kedua-dua LRA terbabit dan pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Proses tender semula projek LRA Sungai Limau akan dilakukan selepas penamatan kontraktor diluluskan oleh Petra. Kami telah menamatkan kontraktor asal dan kini sedang menunggu kelulusan daripada kementerian.
"Kalau kita tak ikut proses, kita boleh disaman oleh kontraktor. Kita kena berhati-hati ikut undang-undang, jangan terburu-buru sampai langgar kontrak,” katanya.
Mengulas mengenai projek LRA Bukit Selambau, Sanusi memaklumkan bahawa EOT ketiga telah diberikan kepada kontraktor dan tempoh tersebut akan berakhir pada 16 November ini.
Tambah beliau, tiga lagi projek LRA di Kedah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment