JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan soal nepotisme dalam pucuk pimpinan parti yang dikaitkan dengan keluarganya ketika ini.
Beliau berkata, perkara itu sebelum ini tidak pernah dibangkitkan semasa isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai parti ketika beliau dalam penjara.
“Bagi pihak Azizah yang pegang benteng (pimpinan PKR) ini agak lama, saya ucapkan terima kasih. Orang bangkitkan, ini isteri, anak ialah waktu kita bertempur dulu PKR tiada kongres, tiada perbincangan panjang.
“Siapa hendak pegang obor waktu itu saya lepaskan begitu sahaja, saya masuk penjara. Waktu itu tiada dana parti, tiada jentera parti. Waktu itu tidak timbul keluarga dan nepotisme,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Menurut Anwar, dalam situasi getir ketika itu, Wan Azizah memikul tanggungjawab memimpin parti manakala anaknya, Nurul Izzah pula terpaksa meninggalkan pengajian universiti untuk membantu perjuangan parti secara aktif.
“Saya hendak singgung perkara itu supaya ahli-ahli lihat dan tanya kepada yang lama-lama (ahli), waktu itu apa pilihan kita? Siapa yang pegang obor?
“Ketika itu Azizah pegang dan Izzah pula dalam keadaan terpaksa tinggalkan universiti dan menggeledah ke sana sini sebagai seorang dewasa.
“Ya, Azizah saya pilih pada masa itu. Saya terpaksa buat keputusan segera ketika itu. Tetapi Nurul Izzah itu saudara-saudari yang pilih,” ujarnya.
Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR mengalahkan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pertandingan yang diumumkan malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru agar perjuangan diteruskan setiap ahli kerana kejayaan parti bergantung kepada komitmen terhadap masa depan parti.
“Saya ingatkan teruskan bekerja kerana tiada jaminan masa depan seseorang selain kerja dan amal. Saya di sini, sementara ada kudrat dan kesihatan yang mengizinkan,” katanya.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment