KUALA LUMPUR, 27 ZULKAEDAH — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memerlukan anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai pengganti sekiranya kedudukan beliau tergugat dalam kes saman gangguan seksual membabitkan bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther.
Peguam yang mewakili Yusoff, Rafique Rashid berkata, kes saman sivil tersebut akan didengari pada 16 Jun ini yang mana Yusoff sendiri menjadi plaintif.
“Dakwaan, keterangan dan testimoni yang ingin dibawa oleh Yusoff dalam perbicaraan itu mempunyai satu implikasi yang besar bukan sahaja kepada seorang perdana menteri tetapi seorang Melayu, seorang Islam, imej negara dan sebagainya.
“Sebab itu saya merasakan dia (Anwar) sedang menyediakan orang yang paling dipercayai (Nurul Izzah) untuk memegang jawatan dalam Parlimen kemudian dinaikkan sebagai Presiden PKR dan Perdana Menteri menanti (Prime Minister in-waiting).
“Kalau sesuatu terjadi pada Anwar, ada satu ‘buffer’, ada satu penghadang yang dia boleh gunakan untuk bantu dia kemudian hari,” katanya kepada TV Pertiwi.
Rafique yang juga Ketua Penerangan PEJUANG berkata demikian bagi mengulas kemenangan Nurul Izzah dalam pemilihan PKR yang menyaksikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggantikan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar pada Oktober 2018, yang mengandungi butiran serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh Anwar terhadapnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur semasa dia bertugas sebagai pembantu penyelidik kepada Anwar.
Dia yang juga cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, sebelum ini berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api selepas polis menjumpai ketulan dadah jenis ganja dan dua pucuk pistol tiruan di dalam keretanya, seminggu selepas beliau menyenaraikan saksi untuk kes saman tersebut.
Pihak pembelaan berkali-kali menyatakan Yusoff adalah mangsa perangkap semasa kes pendakwaan didengari pada April lepas.
Dia kini dipenjarakan di Sungai Buloh, Selangor. Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan menetapkan sama ada Yusoff perlu membela diri atau tidak pada 12 Jun ini.
Rafique dalam pada itu berkata, dia menjangkakan satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi memberi tempat kepada Nurul Izzah di Dewan Rakyat, mengulangi ‘Langkah Port Dickson’ pada 2018 yang mana Anwar menjadi Ahli Parlimen setelah penyandangnya mengosongkan kerusi tersebut.
“Saya merasakan akan ada orang menjadi kambing hitam yang mengosongkan kerusi, bagi Nurul Izzah masuk bertanding, kemudian diberi jawatan dan mungkin bersiap sedia mengambil alih sebagai Perdana Menteri satu hari nanti sebab terlalu banyak isu terhadap Anwar,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment