NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tengku Zafrul tidak menang PRU, tidak perlu semak aku janji - Mohamad



SEREMBAN - Semakan semula aku janji ditandatangani Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak dapat dikuatkuasakan berikutan beliau tidak memenangi pilihan raya tersebut.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, berikutan kapasiti beliau sebagai senator.

"Itu tidak termasuk dalam bidang lingkup perjanjian tersebut, kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya. Itu merupakan aku janji seorang wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen (semak aku janji).

"Jika mereka menang, kerusi tersebut adalah kepunyaan parti, bukan kepunyaan individu tersebut dan individu yang menjadi calon dan menang, mereka menandatangi banyak perjanjian termasuk mengembalikan semula kos yang dikeluarkan parti dan macam-macam lagi.

"Tengku Zafrul tak menang. Dia jadi menteri atas asas dia seorang senator. Jadi saya tak nampaklah bahawa aku janji tersebut dapat dikuatkuasakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mendesak parti mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Zafrul yang mengumumkan meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Mohd Puad juga meminta parti menyemak semula aku janji ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon BN pada PRU15, termasuk kemungkinan menuntut pampasan RM100 juta sekiranya tindakan Tengku Zafrul yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU lepas, dikira sebagai lompat parti.

Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MT UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Ditanya sama ada peletakan jawatan itu memberi kesan terhadap UMNO, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Tengku Zafrul tidak memegang jawatan tinggi dalam parti dan ia tidak terlalu memberi kesan terhadap UMNO.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, usaha memerangi pemerdagangan manusia membabitkan rakyat di negara ini di Vietnam termasuk jenayah penipuan, sentiasa menjadi agenda utama Malaysia. - Bernama





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

BN perlu waspada 'musuh dalam selimut' - Pemuda BN



SHAH ALAM – Semua pemimpin parti dalam Barisan Nasional (BN) digesa mengadakan perbincangan segera mengenai hala tuju secara kolektif serta mengukuhkan penyatuan dalam kerangka gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong menegaskan bahawa BN merupakan wadah perjuangan yang wajib dipertahankan demi generasi akan datang.

Menurutnya, sejak perubahan landskap politik negara pada tahun 2018, Malaysia menyaksikan ketidaktentuan dalam pemerintahan, ketegangan sosial serta cabaran dalam pembangunan ekonomi.

“Kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) termasuk Kerajaan Madani menjadikan BN sebagai rakan kongsi kerana menyedari bahawa hanya Formula BN yang menekankan kerjasama antara kaum, kestabilan politik dan dasar pembangunan inklusif mampu mengembalikan kepercayaan rakyat serta membina semula negara.

“Namun BN perlu berwaspada dengan ‘musuh dalam selimut’ supaya tidak dipersenda, dianiaya, malah dipinggirkan sewenang-wenangnya dan harus bersedia mengambil tindakan drastik pada bila-bila masa demi mempertahankan hak dan martabat kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Kenyataan tersebut dibuat susulan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat yang mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja kepada pucuk pimpinan parti, selain menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA menyifatkan tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sebelum tamat tempoh sebagai senator bukan sahaja merobek maruah BN, malah membuktikan tiadanya keikhlasan dalam kerjasama BN-PH.

“BN adalah warisan perjuangan, simbol kestabilan dan tonggak kemajuan negara yang telah terbukti sejak merdeka.

“Dulu, kini dan selamanya, semangat dan maruah BN perlu dipertahankan serta diperkukuhkan demi generasi akan datang,” ujarnya.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tindakan Tengku Zafrul bercanggah politik diperjuang Kerajaan Perpaduan - Wanita UMNO



SHAH ALAM - Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berundur daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bercanggah dengan semangat politik stabil yang diperjuangkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tindakan itu juga dikhuatiri akan mencetuskan ketidakpercayaan dan ketidakharmonian dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

"Kerajaan Madani ini dibentuk atas dasar kerjasama antara parti-parti yang berbeza ideologi.

"Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan harus menumpukan usaha membangun ekonomi dan membaik pulih tadbir urus negara. Politik Malaysia memerlukan kematangan dan komitmen terhadap prinsip parti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau juga mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Tambah Noraini, Wanita UMNO terkilan dengan tindakan Tengku Zafrul yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli UMNO untuk menyertai parti lain.

"Kami menyeru semua pemimpin menghormati satu sama lain dan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat," katanya.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bekas calon Bebas PRU15, Cleopatra sertai Pas



SHAH ALAM – Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, yang sebelum ini bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), telah menyerahkan borang permohonan keahlian untuk menyertai Pas.

Menurut Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM), Cleopatra menyatakan bahawa keputusannya menyertai Pas adalah demi masa depan anak-anaknya.

“Cleopatra yang juga merupakan seorang ibu tunggal, sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mengenali Pas dengan lebih dekat serta menyatakan kesediaan mengikuti tarbiah parti tersebut.

“Selain dikenali sebagai seorang aktivis aktif dalam kerja-kerja amal dan pengasas NGO Hetero Action Women Alliance (HAWA) yang memperjuangkan hak wanita dan masyarakat, Cleopatra juga memainkan peranan sebagai seorang pempengaruh media sosial.

“Peranannya sebagai pempengaruh menjadikannya suara penting dalam memperjuangkan isu-isu sosial dan pembangunan komuniti,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi DMPM, pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan Cleopatra serta seluruh wanita Malaysia sebagai ahli keluarga besar Pas.

Ujarnya, Dewan Muslimat Pas sentiasa konsisten mengambil cakna terhadap kebajikan golongan yang memerlukan seperti golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

“Penyertaan Cleopatra ke dalam Pas dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan politik wanita di Malaysia serta memperjuangkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.


Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Peletakan jawatan Tengku Zafrul tidak mengejutkan, sebahagian daripada dinamika politik – Tok Mat



KUALA LUMPUR – Pengumuman Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletak semua jawatan dalam UMNO semalam tidak mengejutkan dan ia adalah sebahagian daripada dinamika politik yang makin terbuka dan pelbagai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,  semua orang berhak memilih jalan mereka dan UMNO memilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti, dan memperjuangkan nasib rakyat.

Menurutnya, UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu.

“Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat – bukan pada nama atau kedudukan.

“Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul Tengku mengumumkan peletakan semua jawatan beliau di dalam UMNO membabitkan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahlian dalam parti itu.

Kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, keputusan yang diambilnya bukan sesuatu yang mudah dan diambil selepas melalui proses pertimbangan panjang serta nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO sendiri.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menyatakan hasrat untuk menyertai PKR dan telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan tertinggi parti tersebut.

Menurut Mohamad, beliau menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadi beliau.

Tambah beliau, sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, Tengku Zafrul telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan.

“Kami ucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau.

“Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul dan kita doakan yang lebih baik untuk UMNO.,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad meminta ahli dan penyokong UMNO, jangan goyah.

“Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita,” jelasnya.

Beliau berkata, UMNO bukan dibina sehari dua dan tidak diangkat hanya kerana seorang tokoh.

Katanya, UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu dan parti itu ada kerja yang jauh lebih penting iaitu menyatukan, memperbaiki dan memulihkan kepercayaan rakyat kepadanya. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Sertai PKR ketika masih pegang jawatan menteri atas tiket UMNO, cemarkan semangat setia kawan – Mutalif



KUALA LUMPUR– Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai PKR ketika masih memegang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri atas tiket UMNO boleh mencemarkan semangat setia kawan dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Aziz berkata, jika Tengku Zafrul terus bersikap demikian, ia boleh menimbulkan ketegangan dan wujud prasangka dalam kalangan penyokong akar umbi.

“Kami menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik bersama serta tidak mengamalkan budaya ‘memancing ahli’ sesama rakan gabungan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, tindakan Tengku Zafrul untuk meninggalkan UMNO bukan sesuatu yang mengejutkan bahkan sudah dijangka lebih awal.

“UMNO Selangor tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan terhadap perjuangan parti.

“Perjuangan UMNO bukan bersandarkan kepada satu individu. UMNO telah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana kekuatannya terletak pada akar umbi dan prinsip yang tidak boleh dijual beli,” katanya.

Selain itu, kata Mutalif, UMNO Selangor akan terus memperkukuh saf kepimpinan termasuk UMNO Bahagian Kota Raja serta kekal fokus terhadap misi memperjuangkan nasib rakyat.

“Kita tidak akan leka dengan drama individu, tetapi akan terus mara dengan semangat baharu demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tengku Zafrul masih layak kekal sebagai menteri, AMK tegur Ketua Pemuda UMNO



KUALA LUMPUR -Pelantikan Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah sah dan tidak wajar dipertikai meskipun beliau mengumumkan keluar UMNO semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzulhilmi Zainol berkata, pelantikan mana-mana individu sebagai menteri adalah hak dan kuasa mutlak Perdana Menteri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak timbul keperluan untuk beliau mengosongkan kerusi menteri. Peranan beliau dalam mendepani cabaran geoekonomi dan geopolitik dunia, termasuk krisis perdagangan Amerika Syarikat-China amat signifikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulhilmi mengulas kritikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang mempersoalkan kedudukan Tengku Zafrul dalam Kabinet selepas tidak lagi bersama parti.

Jelasnya, Tengku Zafrul bukan sahaja berperanan penting sebagai ‘frontliner’ dalam menarik pelaburan asing, malah berjaya membina keyakinan komuniti perniagaan global terhadap Malaysia sebagai negara dagang.

Beliau turut mengingatkan Akmal supaya tidak terperangkap dalam sentimen politik sempit melihat pada gambaran yang lebih besar demi kestabilan kerajaan.

“Alangkah lebih baik jika beliau merujuk kepada Presiden UMNO terlebih dahulu, adakah nama Tengku Zafrul dibawa oleh UMNO sendiri sewaktu pembentukan kerajaan dahulu?

“Jika ada kekeliruan, lebih elok diselesaikan melalui saluran dalaman parti dan bukan melalui kenyataan terbuka yang boleh menggugat muafakat Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. -MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kuasa lantik menteri hak mutlak PM, usah bincang secara terbuka – Amanah



KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan sebarang isu melibatkan perletakan jawatan atau penggantian Menteri Kabinet merupakan hak prerogatif Perdana Menteri dan tidak wajar dijadikan perdebatan umum.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, proses berkaitan jawatan menteri hanya boleh dimuktamadkan oleh Perdana Menteri setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Jika wujud kekosongan sekalipun dalam Kabinet, keputusan untuk melantik pengganti atau melakukan rombakan adalah hak mutlak Perdana Menteri yang perlu dihormati semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak tidak membincangkan isu berkenaan secara terbuka, khususnya dalam ruang awam yang boleh menimbulkan spekulasi tidak berasas.

Muhammad Faiz turut mengingatkan ahli dan penyokong parti supaya hanya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh presiden parti atau atas nama setiausaha agung sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada khabar angin berkaitan kemungkinan pertukaran beberapa jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. -MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Nepotisme dalam PKR bukan lagi tersembunyi, tidak akan hapuskan persepsi rakyat



KUALA LUMPUR – Tindakan berani Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan bahawa nepotisme tidak wujud dalam parti itu sebagai tersasar dan bahaya kerana ia menyimpangkan daripada makna sebenar budaya tersebut.

Pengerusi Parti Urimai, P. Ramasamy berkata, nepotisme bukan sekadar pemberian jawatan atau kekayaan secara rahsia, selain merangkumi kelebihan yang diperoleh hasil hubungan kekeluargaan dalam politik, yang mana pertalian darah memberikan kelebihan yang tidak adil, walaupun melalui proses yang kelihatan demokratik.

“Jujurlah, adakah Nurul Izzah mempunyai peluang menewaskan Rafizi jika dia bukan anak Anwar?,” soalnya.

Bahkan beliau menyifatkan penolakan Nurul Izzah Anwar untuk berdebat secara terbuka dengan Datuk Seri Rafizi Ramli amat jelas maksudnya.

Dakwa Ramasamy, jika Nurul Izzah menerima cabaran debat itu, besar kemungkinan Rafizi akan mendedahkan jurang besar dalam keupayaan politik dan intelek antara mereka.

“Oleh itu, usaha Kamil untuk mentakrifkan semula nepotisme demi menyelamatkan naratif partinya adalah naif dan mengelirukan.

“PKR kini semakin menyerupai parti-parti hegemoni Melayu yang pernah ditentangnya suatu ketika dahulu. Dengan Anwar sebagai presiden, isterinya sebagai penasihat parti, dan anak perempuannya sebagai timbalan presiden, “perancangan keluarga” dalam PKR tampak sudah lengkap. Adakah lebih ramai ahli keluarga menanti giliran?,” tanya beliau lagi.

Jelas beliau lagi, nepotisme bukan sekadar masalah persepsi politik—ia adalah pengkhianatan terhadap idealisme reformasi.

“Jika Nurul benar-benar berintegriti, beliau patut meletakkan jawatan dan mengakui bahawa kemenangannya lebih berpunca daripada nama keluarganya, bukan kebolehannya.

“Janji-janji reformasi kerajaan kini kedengaran kosong. Rasuah berleluasa, dan agensi penguatkuasaan digunakan secara terpilih. Dalam masa yang sama, beberapa individu oportunis dalam komuniti minoriti pula mengangkat Nurul seolah-olah beliau “Maharani” masyarakat India, menjadikan keadaan ini semakin menjengkelkan,” tambahnya.

Lantaran itu, Ramasamy menegaskan, nepotisme dalam PKR kini bukan lagi sesuatu yang tersembunyi—ia terpampang dengan jelas dan penafian tidak akan menghapuskan persepsi rakyat.

Sehubungan itu, Kamil harus berhenti memperbodohkan rakyat Malaysia dan akui hakikat yang nyata bahawaPKR memang ada masalah nepotisme, dan tiada sebarang cubaan menyucikannya yang akan berjaya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Kita tidak ada masa nak bergaduh-gaduh’



BATU PAHAT – Penting bagi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menangani isu Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz  menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan kestabilan politik negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan Perpaduan perlu kekal sehingga hujung penggal pilihan raya umum sedia ada tamat nanti.

“Kita tak ada nak bergaduh-gaduh, ini sebab masing masing ada peranan, sebagai kerajaan Perpaduan kita ada tanggungjawab. Salah satu tanggungjawab kita adalah untuk memastikan kestabilan politik negara.

“Kalau kestabilan politik tak ada dalam negara macam mana kita nak membangunkan negara. Jadi soal-soal sikit politik ini biasalah, itu tak boleh menjejaskan pakatan kita dalam kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Kementerian Perladangan dan Komoditi di Kampung Parit Bilal, di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan malam tadi, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Pengumuman tersebut menamatkan penyertaan beliau dalam parti berkenaan sejak 1997 dan surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada parti semalam.

Johari berkata, sehingga malam tadi kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih belum menerima surat perletakan jawatan berkenaan.

Ditanya gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh agar Tengku Zafrul meletak jawatan dalam Kabinet, perkara tersebut di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Jelasnya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Tengku Zafrul juga tidak terikat dengan Akta Lompat Parti kerana statusnya sebagai Senator. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo