PASIR SALAK - UMNO perlu segera memperjelas kepada ahli akar umbi dan penyokong mengenai kerjasama dengan DAP di dalam kerajaan Perpaduan sebelum ia menjadi punca kekalahan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, isu tersebut dilihat mampu menggugat keyakinan ahli dan penyokong UMNO yang masih kurang jelas mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, perkara itu mesti ditangani sebelum ia menimbulkan masalah dan tidak sempat dijelaskan seperti mana isu 1MDB yang menjadi antara punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-15 (PRU15) lalu
"Krisis keyakinan kepada parti UMNO itu masa PRU seperti 1MDB dan sebagainya menyebabkan ramai daripada ahli parti sendiri menolak calon UMNO. Jadi masalah itu berterusan sehingga selepas PRU masih belum pulih lagi sepenuhnya.
"Pada pandangan saya, sekarang ini isu kerjasama dengan DAP. Kalau tidak ditangani dengan betul, isu ini dibawa sehingga PRU akan datang.
"Pemimpin UMNO mesti terangkan betul-betul sampai rakyat, pengundi yakin dengan apa yang kita jelaskan itu," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan amanat sempena Majlis Penerangan PRU16 di Dewan Parit 9, Labu Kubong di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin.
Tajuddin berkata, dalam tempoh dua tahun sebelum PRU akan datang, isu tersebut perlu selesai diperjelaskan dan jangan tunggu di saat akhir seperti yang berlaku dalam isu 1MDB.
Jelasnya, ketika ini UMNO berada dalam kedudukan yang baik di dalam kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana imej dibina oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) amat disenangi rakyat dan pemimpin antarabangsa.
"Anwar itu memang menunjukkan komitmen untuk Melayu, Islam dan dia juga telah menunjukkan ketokohan serta kemampuan sampai ke peringkat antarabangsa dan merupakan salah seorang pemimpin dunia.
"Dalam tempoh dua tahun dia sudah jadi tokoh pemimpin dunia, sebaris dengan pemimpin dunia yang lain. Beliau memperjuangkan isu-isu antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Tajuddin menjelaskan di peringkat Bahagian Pasir Salak beberapa program telah dilaksanakan dengan masyarakat atas inisiatif sendiri untuk memastikan kesemua kerusi di dalam kawasan Parlimen Pasir Salak kembali dimenangi BN pada PRU akan datang.
Jelas veteran UMNO itu, program seumpama itu sudah pun digerakkan ketika keahliannya di dalam UMNO digantung dan dilaksanakan secara tertutup bersama pemimpin masyarakat.
"Nak tebus kekalahan perlu bangkit berjuang memperkukuhkan parti, menggerakkan jentera parti membangkitkan semangat dalam kalangan ahli-ahli parti. Jadi untuk buat itu kena adalah perjumpaan-perjumpaan.
"Kenapa saya buat sebab saya sayangkan UMNO. Saya tak nak UMNO terus kecundang lagi dalam PRU akan datang dan kesedaran saya ini bukannya selepas penggantungan ditarik, tetapi sebelum itu saya dah mula terpanggil buat sesuatu untuk UMNO bangkit semula," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment