NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin PKR berbeza pendapat



AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan kewajaran jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berkemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu, Mei depan.

Ahli PKR berkenaan menegaskan, sebagai sebuah parti demokratik sepatutnya tidak ada sebarang seruan supaya dua jawatan tertinggi dalam parti tersebut tidak dipertandingkan.

“Jangan ada seruan, arahan atau usul secara langsung atau tidak langsung, yang tersirat atau tersurat bertujuan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

“PKR ialah parti demokratik, jadi saya harap biarlah berlaku secara semula jadi untuk dua jawatan tertinggi itu tidak dicabar atau ditandingi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.


Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pada Sabtu dilapor berkata, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presidennya pada pemilihan parti.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, cadangan berkenaan berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini, antaranya untuk memastikan dalaman parti tersebut lebih tenang dan melancarkan khidmat kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.


Justeru, Hassan berkata, Shamsul Iskandar sendiri tidak perlu mengeluarkan kenyataan bahawa dua jawatan terbabit kemungkinan tidak dicabar.

“Pucuk pimpinan PKR perlu yakin atas kebijaksanaan ahli parti. Kalau mereka menilai jawatan Presiden sekarang yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar tidak dicabar jadi kita terimalah itu hakikat politik sebenar, iaitu kekuatan dan pengaruh Anwar sebagai Presiden parti.


“Tetapi mengapa jawatan nombor dua juga tidak wajar dicabar? Ramai pemimpin kanan layak mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli. Mengapa perlu dihalang?” soalnya.

Katanya, pertandingan jawatan nombor dua terbabit tidak sepatutnya disekat bahkan sekiranya ada yang berhasrat mahu merebut jawatan Presiden sekali pun, ia wajar dibenarkan.


Dalam pada itu, bekas Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, meraikan demokrasi bermaksud membuka ruang kepada semua anggota untuk memilih dan dipilih, justeru proses dalam PKR tidak seharusnya disekat mahupun dihadkan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden memerlukan barisan kepimpinan yang lebih dinamik dalam memperkukuhkan agenda rakyat demi memastikan PKR terus kekal relevan dalam dunia politik.

“Sebagai sebuah parti yang melaungkan slogan reformasi sebagai asas perjuangan, maka demokrasi dalam proses pemilihan parti harus diraikan dengan saksama di semua peringkat.

“Pemilihan parti adalah proses untuk menilai semula prestasi setiap pimpinan yang telah diberikan tanggungjawab. Proses pemilihan akan memberikan ruang kepada anggota untuk menukar pemimpin lemah mahupun mengekalkan mereka yang berupaya,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung yang menerima baik kemungkinan dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan berpendapat, cadangan tersebut mencerminkan PKR stabil dan ramai ahli parti sebenarnya mahu menumpukan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Namun, perkara ini bukanlah satu ketetapan, ini satu perkembangan senario (menuju ke arah pemilihan parti) sebab kita tak ada satu mekanisme yang menghalang sesiapa sahaja ahli untuk bertanding. Jangan samakan PKR dengan parti lain,” katanya.

Bagi Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh pula berkata, setakat ini tiada usul yang diluluskan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berhubung ketiadaan persaingan bagi dua jawatan tertinggi terbabit.

“Setakat ini tiada usul yang diluluskan di peringkat MPP berkenaan hal tersebut,” katanya ringkas.



Sumber | Sinar Harian















........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo