NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Krisis Pencen: Kerajaan Mohon Tangguh Bayaran RM1.7 bilion, Nasib Pesara Tergantung?

Kerajaan Mohon Penangguhan Keputusan Pelarasan Pencen Pesara

KUALA LUMPUR – Pada 10 Februari 2025, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan semakan kehakiman oleh seorang pesara berhubung pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir, selaras dengan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016 yang berkuat kuasa mulai Januari 2022.

Permohonan penangguhan ini dibuat atas alasan terdapat keadaan khas yang memerlukan keputusan tersebut digantung sehingga rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan diputuskan. Menurut afidavit sokongan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pembayaran tunggakan pencen yang dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion sejak Januari 2022 bukan sahaja melibatkan pemohon asal, Aminah Ahmad dan 56 pesara lain, tetapi juga seramai 531,976 pesara di seluruh negara.

Beliau menegaskan bahawa implikasi kewangan daripada pembayaran tunggakan ini adalah besar dan memerlukan kerajaan menyusun semula perancangan dana yang telah diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur negara, sosial, serta ekonomi. Ini bagi memastikan dana mencukupi dapat disalurkan kepada Kumpulan Wang Persaraan bagi memenuhi perbelanjaan luar jangka yang timbul.

Sebelum ini, pada 16 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan kerajaan membayar pelarasan pencen mengikut formula sebelum pindaan Akta Penyelarasan Pencen 1980. Keputusan ini dibuat selepas semakan kehakiman yang difailkan oleh Aminah Ahmad, bekas penjawat awam di Kementerian Luar, yang mewakili 54 pesara lain. Mahkamah memerintahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan untuk membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.

Pada 24 Januari 2025, kerajaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan tersebut, menunjukkan hasrat untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara.

Perkembangan terkini ini menimbulkan persoalan mengenai masa depan pelarasan pencen bagi pesara perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang bakal dihadapi oleh kerajaan. Para pesara kini menantikan keputusan lanjut daripada proses rayuan yang sedang berjalan. - 1Media.my


........
Komen: Pesara jadi keliru, hanya ketika kerajaan Madani sahaja, timbul isu pembayaran pencen pesara, bajet 2025 tertinggi sejak merdeka, tapi pencen untuk pesara diabai.


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo