NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kian Ming cadang Tengku Zafrul, Nurul Izzah, Nazir Razak dilantik duta besar ke AS

Ong Kian Ming berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan bekas pengerusi CIMB Nazir Razak layak sebagai duta Malaysia seterusnya ke Amerika Syarikat.




PETALING JAYA
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mencadangkan lima individu untuk dipertimbangkan Putrajaya sebagai duta besar baharu Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Ong mendakwa duta besar ketika ini, bekas Ahli Parlimen enam penggal, Nazri Aziz, gagal mengatur panggilan telefon antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump, dan menegaskan panggilan sebegini sebagai isyarat penting dalam komuniti diplomatik.

Bekas timbalan menteri perdagangan itu berkata, ketua-ketua negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand, dan Singapura telah pun mengadakan panggilan telefon dengan Trump sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan.

Mendakwa ada petanda Nazri digantikan tidak lama lagi, Ong berkata lima calon berpotensi menggantikan beliau, iaitu Nurul Izzah, Tengku Zafrul, bekas pengerusi CIMB Nazir Razak, bekas Ahli Parlimen Yusmadi Yusoff, dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.

Katanya, Faiz memberikan input utama kepada perdana menteri mengenai dasar luar, manakala Nurul Izzah merupakan pembantu utama Anwar dan Tengku Zafrul pula seorang menteri yang dipercayai oleh perdana menteri.

Beliau juga berkata Nazir ialah tokoh korporat terkenal, manakala Yusmadi merupakan antara orang kepercayaan Anwar.

“Pengganti Nazri harus mempunyai akses langsung kepada Anwar untuk menyampaikan maklumat penting mengenai hubungan dua hala dan memberikan cadangan terbaik untuk berinteraksi dengan Trump, Kabinetnya serta Kongres AS.

“Mereka juga perlu dikenali oleh anggota Jemaah Menteri utama Malaysia (kewangan, perdagangan dan industri, pengangkutan, hal ehwal luar, dan tenaga) untuk mencadangkan pendirian dasar strategik.

“Dan mereka harus ada kemampuan berinteraksi secara terbuka dan tertutup dengan pemegang taruh utama dalam struktur kuasa AS, termasuk mewujudkan kedudukan menerusi media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pemimpin DAP itu juga berkata peranan duta besar Malaysia ke AS adalah penting, terutama dalam menghadapi pelbagai pengumuman dan perintah eksekutif yang ditandatangani Trump sejak kembali berkuasa.

Bagaimanapun, sehingga Nazri digantikan, Ong berkata Putrajaya perlu menghantar seorang menteri kanan ke AS – sama ada menteri luar atau perdagangan, atau salah seorang timbalan perdana menteri – untuk menyampaikan jemputan peribadi kepada Trump bagi menghadiri sidang kemuncak Asean hujung tahun ini.

“Soal sama ada Trump akan hadir atau tidak adalah perkara lain, tetapi isyarat yang dihantar melalui lawatan dan jemputan ini kepada presiden AS, Rumah Putih, serta komuniti antarabangsa, itu yang penting.

“Ketika lawatan ini, pertemuan peringkat tinggi dengan anggota Kabinet Trump dan pegawai kanan Rumah Putih juga perlu diatur, menggunakan pengaruh Malaysia sebagai pengerusi Asean bagi menunjukkan kepimpinan kita dalam berinteraksi dengan AS,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo