BANGI, 15 SYAABAN — Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kiamat itu pasti yang merupakan hari penentuan kepada sekalian umat manusia.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu mengulas kritikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggesa Menteri Dalam Negeri itu menunggu sehingga kiamat.
“Kiamat itu pasti. Hari penentuan untuk kita semua,” katanya dalam satu kiriman WhatsApp kepada TV Pertiwi hari ini.
Sanusi semalam menggesa Saifuddin menunggu sehingga kiamat jika mahu PH merampas pentadbiran kerajaan negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah itu berkata tidak salah untuk Saifuddin bercita-cita besar namun Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan kekalahannya.
“Menantilah sampai kiamat, selamat menanti, boleh pasang cita-cita. Siapa yang belum dapat, dia akan kata kerajaan menanti.
“Siapa yang sudah terlepas hendak kata apa, kerajaan yang hilang?” soalnya sinis seperti dilaporkan Sinar Harian.
Saifuddin bagaimanapun menggesa Sanusi agar tidak terus berbangga dan bongkak kerana ia sifat terkeji yang dilarang Nabi Muhammad SAW.
“Apa yang pasti sifat angkuh, bongkak, sombong, bangga diri dan megah dengan kuasa adalah sifat mazmumah yang Nabi Muhammad minta kita jauhi,” katanya kepada TV Pertiwi.
Setiausaha Agung PKR itu berkata tiada masalah dengan istilah “kerajaan menanti” kerana PH Kedah akan melakukan pembaharuan terhadap kepimpinan negeri.
Katanya, PH Kedah mempunyai hala tuju yang jelas dan menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan dalam PRN akan datang.
“Bila saya memposisikan kami sebagai kerajaan menanti, saya sedang meletakkan semula hala tuju jelas ke hadapan dan tentunya akan diiringi gerak kerja yang rapi dan tersusun.
“Kami mulakan 2025 dengan Konvensyen Kerajaan Perpaduan Kedah esok untuk mengumpulkan pimpinan semua peringkat dan meletak asas kerja.
“Kami akan terus gembleng kekuatan bersama. Kelemahan pula akan kami baiki. Tempoh tiga tahun kami anggap munasabah untuk gerakkan perancangan tertumpu,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment