SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman bahawa seorang teknokrat boleh diangkat sebagai calon Perdana Menteri boleh disifatkan sebagai satu isyarat ketidakstabilan tercetus dalam Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil menegaskan jawatan Perdana Menteri sewajarnya diisi oleh pemimpin politik utama atau ketua parti bagi menjamin kestabilan kerajaan.
Beliau berpendapat, pengalaman sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada PN bahawa pelantikan Perdana Menteri bukan dalam kalangan ketua parti akhirnya membawa kepada ketidaktentuan politik serta kegagalan pentadbiran.
"Perdana Menteri adalah orang politik dan sesebuah kerajaan dibentuk atas kuasa politik.
"Oleh itu, tokoh politik utama atau ketua parti sangat penting untuk dicalonkan sebagai PM bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Faiz, pelantikan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bukan merupakan ketua parti telah menyebabkan ketidakstabilan politik, sekali gus memberi kesan terhadap kecekapan kerajaan dalam mentadbir negara.
Selain itu, katanya, ketika Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara, politik juga tidak stabil kerana memperoleh kuasa secara tidak sah dari sudut amalan demokrasi tulen.
Beliau turut membandingkan keadaan semasa di bawah kepimpinan PM ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya berjaya mengekalkan kestabilan politik negara sejak lebih dua tahun lalu.
"Anwar mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen mengikut kaedah demokrasi yang sah, maka kestabilan politik dapat dikekalkan.
"Apabila kerajaan dibentuk berdasarkan undang-undang, maka kestabilan akan wujud dan pentadbiran negara dapat berfungsi dengan baik," jelasnya.
Faiz turut menekankan bahawa sokongan majoriti ahli Parlimen adalah ambang utama bagi pelantikan seorang Perdana Menteri seperti termaktub dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, kata Faiz, apabila Mohd Syahir tidak menamakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri, senario itu memberi gambaran Presiden Pas tidak mendapat sokongan daripada parti-parti komponen PN walaupun Pas memiliki jumlah ahli Parlimen yang lebih ramai.
"Ini jelas menunjukkan wujudnya keretakan dalam PN.
"Jika gabungan itu tidak kukuh dan stabil, maka ia berisiko tinggi untuk membentuk kerajaan kerana boleh mengundang ketidakstabilan politik yang akan memberi kesan negatif terhadap pentadbiran negara," ujarnya.
Dalam pada itu, Faiz menegaskan bahawa calon Perdana Menteri perlu dinilai berdasarkan merit peribadi, ketokohan dan kebijaksanaan, sebagaimana terbukti dalam kepimpinan Anwar yang berjaya mengukuhkan ekonomi negara serta mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment