![]() |
Laporan Sinar Harian berhubung PBT disaran kekalkan status quo jualan arak. Gambar kecil: Norali, Abd Razak |
IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) tetap dengan pendirian sebelum ini agar pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat ketetapan khusus berkaitan minuman keras.
Presiden GMP, Norali Nordin berkata, perkara itu bukanlah atas dasar permintaan atau penawaran semata-mata tetapi satu bentuk cara menghormati kepentingan semua pihak.
Menurut beliau, sekiranya sekatan boleh dilakukan terhadap aktiviti merokok, maka perkara sama juga boleh dilaksanakan untuk hal-hal berkaitan minuman keras.
"Dahulu tiada halangan merokok di kawasan awam seperti di panggung wayang, kompleks membeli-belah, hospital dan restoran.
"Sepertimana kita semua kita tahu, aktiviti ini tidak lagi dibenarkan, sehinggakan ada kalangan Menteri sendiri didenda kerana merokok di kedai makan.
"Oleh itu tidaklah terlalu ekstrim supaya saranan ini diambil kira sebagai suatu cara mengurus isu minuman keras," katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, GMP menyarankan agar segala aktiviti berkaitan minuman keras di Bandaraya Ipoh dihadkan di suatu kawasan yang diwartakan jauh dari penempatan masyarakat.
Langkah itu membolehkan PBT mengawal keselamatan pengguna, kebersihan setempat, hasil cukai, mengelak pusat hiburan haram, serta dapat menyeimbangkan antara tuntutan demokrasi dan larangan agama sekaligus mengawal sensitiviti masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Abd Razak Mohd Ali berkata, cadangan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti Melayu boleh dilihat sebagai satu bentuk penghormatan kepada komuniti di kawasan tersebut.
Beliau berkata, sekiranya terdapat permohonan, maka perkara tersebut adalah wajar dilaksanakan mengambil kira keperluan dan situasi kadar pembeli yang rendah.
"Tiada salah pun dikenakan larangan itu, kalau tiada kepentingan kepada penduduk, maka tidak perlulah dijual. Jika ada jual pula terpulang kepada ibu bapa dan komuniti di situ untuk pantau," katanya.
Pekerja swasta, Daniel Haris Hakimi, 32, berkata, pertikaian penjualan minuman keras di premis perniagaan bukanlah satu isu baharu.
Katanya, di kawasan majoriti Melayu terutama luar bandar, banyak kedai-kedai runcit dan serbaneka tidak menjual minuman tersebut.
"Bagi saya ada larangan khusus atau tidak daripada PBT bukanlah isu yang perlu diperdebatkan.
"Sudah 67 tahun Merdeka, sepatutnya kita sudah matang untuk memahami apa yang boleh dan apa yang tidak perlu," katanya.
Peniaga, Roselina Abdullah, 40, pula berkata, langkah mengenakan sekatan atau larangan itu mungkin akan menimbulkan lebih banyak pertikaian terutama sudut kepentingan politik.
"Saya sebagai individu yang tinggal dalam kejiranan pelbagai kaum, tidak pernah rasa tergugat dengan penjualan arak di sini.
"Paling penting, dalam komuniti itu perlu ada sikap saling menghormati agama dan budaya masing-masing," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment