NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AHLI PARLIMEN PN TOLAK DRAF MoU PERUNTUKAN PEMBANGKANG ATAS 3 SEBAB

Oleh: Zaki Mustafa

 KOTA BHARU, 18 September - Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan menolak Draf Memorandum Persefahaman (MoU) Peruntukan Pembangkang.

 Penolakan itu dibuat atas tiga sebab utama, iaitu tidak pernah ada perbincangan dan perundingan antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam membuat draf MoU berkenaan. Kedua, syarat yang dikenakan adalah berat sebelah dan ketiga, terdapat perkara yang bercanggah dengan perlembagaan.

 “Atas dasar inilah kami, Perikatan Nasional menolak draf memorandum persefahaman ini kerana bagi kami, kalau dah ini bentuknya, tidak ada ruang lagi untuk bincang walaupun Timbalan Perdana Menteri I kata masih ada ruang untuk bincang,” tegas Takiyuddin kepada pemberita di sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Kota Bharu hari ini.

 Jelas beliau, antara isi kandungan MoU berkenaan mempersoalkan teras perlembagaan seperti kedudukan Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra serta prinsip kesamarataan yang pernah terkandung dalam dokumen ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) yang pernah ditolak untuk diratifikasi pada tahun 2018.

 “Syarat-syarat ini adalah prinsip yang sama dengan ICERD. Kita buat kajian memang ICERD ada. Sama rata ni memang dalam ICERD. Dan yang keduanya, kami juga berpandangan ianya mempunyai ciri-ciri Malaysian Malaysia,” tambanhnya lagi.

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, disenaraikan 10 obligasi kepada ahli parlimen pembangkang dan 3 obligasi kepada ahli parlimen kerajaan untuk dipatuhi. Antaranya, had tempoh masa berucap di Parlimen dan akses kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen serta hak untuk meminda dan membentang usul yang disifatkan melangkaui bidang kuasa yang sebenar.

 Selain itu, turut disyaratkan pematuhan kepada tujuh prinsip kehidupan awam dan penyerahan pengisytiharan harta semua ahli parlimen pembangkang.

 Walaubagaimanapun tiada pula dinyatakan dengan jelas berkenaan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dalam draf tersebut.

Sidang media yang turut dihadiri beberapa ahli parlimen dari PN seperti Pendang, Jerlun, Kuala Kedah, Kuala Langat, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat dibuat sebagai respon kepada pendedahan draf MoU berkenaan oleh pihak kerajaan.

 “Timbalan Perdana Menteri, dia bagi surat kepada saya(katanya) dokumen ini rahsia. Perikatan Nasional tidak pernah mendedahkan dua dokumen ini kepada pihak awam. Kami simpan. Yang mendedahkannya siapa? Timbalan Perdana Menteri II.

 “Apabila Timbalan Perdana Menteri mendedahkan ini barulah kami (PN) mengulas bedasarkan kepada perkara ini,” ujar Takiyuddin.  

Sumber | Media Point

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo