NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LCS pertama dijangka diserah Ogos 2026

Kapal LCS pertama negara telah melalui proses diluncurkan ke air pada 23 Mei. (Gambar Bernama)


LUMUT: Pelaksanaan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 Maharaja Lela setakat ini mengikut perancangan ditetapkan kerajaan dan dijangka diserahkan kepada tentera laut pada Ogos 2026.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, kapal LCS pertama negara itu menepati jadual ditetapkan mengikut perancangan, iaitu pada Mei tahun ini, dan telah melalui proses diluncurkan ke air.

Beliau berkata, kapal itu diluncurkan ke air pada 23 Mei, setelah mendapat persetujuan pihak yang membuat reka bentuk, pihak mengawal kualiti pembinaan dan pengguna akhir, iaitu TLDM sendiri, bagi menguji kestabilan dan keutuhan kapal.

“Sekarang ini (peringkat) membuat kerja memasang peralatan, perkakas atas kapal. Ia akan ambil masa sehingga tahun depan, pemasangan, ujian pemasangan dan sebagainya, bermakna sama ada enjin, ‘combat system’, sistem komunikasi, semua itu termasuk peralatan seperti meriam dan sebagainya (berfungsi dengan elok).

“Selepas itu, barulah dalam Disember, akan dilakukan ujian di pelabuhan, dan selepas semua perkakas dipasang maka akan dilakukan ujian di laut.

“Kalau ikut perancangan, kapal pertama akan diserahkan kepada pihak tentera laut pada Ogos 2026,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan pembinaan kapal tersebut di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas) hari ini.

Khaled berkata, pembinaan empat lagi baki LCS juga berjalan dengan baik dan mengikut perancangan ditetapkan setakat ini.

Beliau menjelaskan sesebuah kapal perlu melalui empat proses, iaitu reka bentuk, pembinaan, pemasangan peralatan dan ujian, sebelum ia berstatus siap dan sedia digunakan secara rasmi.

“Kapal ini minimum memuatkan 120 orang kelasi dan anggota, jadi mestilah selamat, apatah lagi nak jalankan tugas, sama ada rondaan, latihan, jaga kedaulatan, ancaman,” katanya.

Terdahulu dalam majlis berasingan, Khaled hadir pada majlis di Serambi Markas Pemerintahan Armada Barat bagi menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa tragedi helikopter terhempas 23 April lepas.

Waris kepada arwah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi; Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun; dan mendiang Leftenan T Sivasutan, hadir untuk menerima sumbangan tersebut.

Dalam tragedi 23 April itu, 10 anggota dan pegawai tentera laut, terdiri daripada tujuh kru HOM-AW139 serta tiga kru Fennec, terkorban selepas helikopter dinaiki mereka bergesel di udara dan terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Tentera Laut ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo