NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

Jemaah haji Maktab 77 sedang menaiki bas untuk ke Arafah.

MAKKAH - Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula 7 pagi waktu Arab Saudi pada Jumaat untuk ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji pada esok, 9 Zulhijjah (15 Jun).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, jemaah haji Malaysia yang tiba awal di Arafah diberi peluang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran khemah.

"Pagi ini terdapat bas yang bergerak ke Arafah untuk jemaah berwukuf pada hari esok jadi kita sama-sama doakan agar jemaah haji ini akan diberikan kemudahan dalam perjalanan dan urusan untuk wukuf di Arafah tanpa sebarang masalah dan mendapat haji mambrur.

"Kita harapkan agar jemaah haji berikan tumpuan ibadah dan apabila sampai awal jemaah boleh memulakan persediaan mereka. Jemaah boleh selesaikan isu tempat duduk dan tumpu kepada ibadah zikir,” katanya ketika ditemui petugas media pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan bas pertama yang bergerak ke Arafah di Hotel Abraj Al-Janadriyah.

Mohd Naim (tengah) melambai ke arah jemaah haji yang menaiki bas untuk menuju ke Arafah.

Menurutnya, Arafah merupakan tempat yang paling mustajab untuk jemaah haji berdoa dan beliau menggesa jemaah haji untuk mengelak melakukan perkara yang boleh menjejaskan ibadah haji mereka ketika berada di sana.

Sementara itu, buat pertama kalinya, pihak berkuasa Arab Saudi menampal pelekat khas pada setiap pintu bas yang telah dinaiki jemaah haji untuk mengelakkan kehadiran jemaah tanpa visa yang sah.

Mohd Naim berkata, langkah itu dilakukan selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengimbas kad nusuk setiap jemaah haji yang menaiki bas berkenaan.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, penguatkuasaan pihak berkuasa tahun ini sangat ketat dan telah banyak tangkapan dibuat. Ini menandakan keseriusan kerajaan Arab Saudi dalam menguatkuasakan peraturan di setiap 'pit stop' sebelum bas sampai di Arafah.

"Saya ingin menasihati jemaah yang ingin menunaikan haji pada tahun-tahun akan datang supaya mengelak daripada masuk Makkah dan Madinah tanpa permit yang sah dan hanya menggunakan sama ada visa yang dikeluarkan oleh Tabung Haji atau Visa Mujamalah yang dikeluarkan oleh kedutaan," katanya.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari wukuf 9 Zulhijah jatuh pada 15 Jun iaitu hari Sabtu ini, manakala hari Ahad merupakan hari pertama Hari Raya Aidiladha untuk penduduk negara berkenaan.

- SH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo