NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga baharu diesel mampu lonjak pertumbuhan KDNK, kata pakar ekonomi



KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi ke atas diesel yang diumumkan kerajaan hari ini dengan kadar ketetapan harga RM3.35 bagi seliter, dilihat berupaya memberi impak positif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata ia berdasarkan kadar penggunaan bahan api itu di Malaysia yang mencatatkan peningkatan 10.8 bilion liter pada tahun lalu berbanding 6.2 bilion liter, pada tahun sebelumnya.

“Kalau permintaan diesel terus meningkat, ini juga akan beri kesan positif kepada ekonomi sebab harga jualan meningkat kepada RM3.35 ringgit seliter sekali gus memberi kesan positif kepada KDNK negara.

“Malah, dengan pengumuman harga baharu diesel ini juga, saya lihat kerajaan mampu membuat penjimatan sebanyak RM4 bilion. Menerusi penjimatan itu, ia boleh digunakan untuk tujuan lain seperti pembangunan infrastruktur dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.

Mengulas berkenaan pengenalan harga baharu diesel, Barjoyai berpendapat ia masih rendah jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Malah katanya melalui inisiatif bantuan Budi Madani yang diperkenalkan kerajaan pada bulan lalu, ia dilihat akan mengurangkan beban rakyat terutamanya individu yang menggunakan kenderaan diesel persendirian.

“Orang awam yang guna kenderaan diesel persendirian juga layak mohon subsidi menerusi inisiatif Budi Madani dengan mereka akan peroleh RM200 sebulan dan ia sudah dibuka dan tiada tarikh tutup permohonan ketika ini,” katanya.

Mengenai pemberian subsidi kepada golongan yang memerlukan, Barjoyai berpandangan bahawa inisiatif itu dilihat berupaya mengawal kenaikan mendadak harga barang, namun pemantauan proaktif perlu dilakukan kerajaan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut berpandangan bahawa langkah kerajaan memperkenalkan inisiatif Budi Madani mampu meminimumkan kesan kenaikan harga barang.

Selain itu katanya, inisiatif kerajaan seperti bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dinaikkan juga akan mengurangkan beban rakyat.

“Langkah-langkah ini sepatutnya dapat meminimumkan kesan jangkaan harga barang memandangkan menerusi pengenalan harga baharu diesel ini, kerajaan mampu melakukan penjimatan sehingga RM4 bilion,” katanya menambah penetapan harga diesel baharu itu juga dapat mengekang aktiviti penyeludupan bahan api itu ke negara jiran.

“Bila diselaraskan harga diesel ini pada kadar RM3.35 ia sudah setara dengan harga pasaran. Kalau dulu RM2.15 sen mereka boleh melakukan untung yang banyak.

“Jadi dengan harga baru ini saya melihat aktiviti penyeludupan itu berkemungkinan akan turun kerana untung yang mereka peroleh tidak sebanyak dahulu,” katanya.

Terdahulu Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik, bermula 12.01 tengah malam ini.

Beliau berkata penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Amir Hamzah berkata untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo