NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sesat kalau ikut cakap Ramasamy, kata Loke

Loke Siew Fook berkata P Ramasamy perlu ingat mengundi adalah hak warganegara.


HULU SELANGOR: Tindakan Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy yang meminta pengundi terutama masyarakat India tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bertujuan membalas dendam kepada DAP dan gabungan itu.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata tindakan politik tanpa hala tuju itu dipercayai dibuat selepas namanya digugurkan pada PRN Pulau Pinang, Ogos tahun lalu.

“Suruh pengundi tak undi calon kerajaan perpaduan (Pang Sock Tao), tetapi dia ada beri alternatif untuk undi siapa? Dia sendiri pun tak tahu dan tak ada alternatif. Dia kena ingat mengundi itu (adalah) hak warganegara dan kita yakin mereka (pengundi) bijak menilai.

“Dia bebas nak cakap apa, tapi kalau kita ikut cakap dia, kita pun akan jadi sesat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan aktiviti kempen bersama Pang yang dipertaruhkan mewakili kerajaan perpaduan bagi PRK Kuala Kubu Baharu, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, tindakan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kempen Pang sebaliknya bekas setiausaha akhbar kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan mendapat respons baik setiap kali turun berkempen bertemu penduduk.

“Parti dalam kerajaan perpaduan juga membantu dan memberikan sokongan penuh, malah kita juga akan mula melakukan ceramah mega perdana dengan menampilkan nama-nama besar pimpinan dalam parti kerajaan perpaduan bermula Jumaat ini,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Ramasamy yang juga bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang memulakan kempen meminta pengundi di Kuala Kubu Baharu menolak PH.

Dalam pada itu, Loke berkata PH hanya akan berkempen secara matang dengan mempromosikan calon berdasarkan fakta serta kemampuannya tanpa menjatuhkan maruah pencabar lain.

“Contohnya isu kelayakan akademik calon (Perikatan Nasional), bukan kita yang mulakan, warganet yang tanya menerusi media sosial dakwa kelayakan tidak sah, tetapi mereka cuba alih perhatian ramai dengan serang dan tanya kelulusan pendidikan calon kita pula dan kita jawab dengan fakta,” katanya.

Pada PRK itu, Pang ditentang tiga pencabar iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal 7 Mei.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo