NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN tidak pentingkan ‘status quo’, berbeza dengan cara BN dahulu

Dominic Lau mengiringi Khairul Azhari Saut menyantuni komuniti Cina di Kampung Baharu Kerling, Hulu Selangor.


HULU SELANGOR: Gerakan mengakui mungkin tiada lagi istilah kerusi tradisi dalam pengagihan dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang mengambil kira situasi PRK Kuala Kubu Baharu.

Presiden Dominic Lau berkata, faktor boleh menang menjadi keutamaan PN, berbanding amalan ketika parti itu bersama Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang mengamalkan ‘status quo’ dalam pembahagian kerusi.

“PN tak sama dengan BN dulu, mana kerusi yang kita bertanding parti itulah yang akan diberi keutamaan…tetapi itu bukan cara PN.

“Ini bukan kerusi Bersatu, bukan Gerakan, bukan PAS…sebab itu semasa awal pemilihan calon, saya kata kita senaraikan calon masing-masing dan biar kepimpinan PN yang buat keputusan.

“Jadi untuk memastikan kemenangan PN, akhirnya kita pilih saudara Khairul,” katanya merujuk pemilihan Khairul Azhari Saut, pemangku ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor sebagai calon PN untuk merampas kerusi Kuala Kubu Baharu daripada DAP.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Khairul dicabar Pang Sock Tao (PH), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Pada PRN Ogos lalu, Gerakan bertanding di kerusi itu namun kalah kepada PH. Bagaimanapun, Gerakan tetap berhasrat meletakkan calonnya termasuk bekas calon parti itu di Kuala Kubu Baharu, Henry Teoh serta seorang pemimpin wanita, Muniraa Abu Bakar.

Namun, pada 25 April Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan Khairul sebagai calon komponen itu sambil menjelaskan ada kompromi atau tolak ansur daripada Gerakan dalam keputusan berkenaan.

Dalam pada itu, Lau turut membidas tindakan Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari yang menyerang latar belakang pendidikan calon kerajaan perpaduan, dan menegaskan kempen PN seharusnya menonjolkan calon yang diketengahkan.

“Selain (bangkitkan) isu polisi dan dasar, tonjolkan kita bawa anak tempatan sebagai calon yang faham masalah tempatan, ini penting.

“Ketepikan cara kempen begini kerana kita ada dua minggu saja untuk kempen, dua minggu untuk dapat sokongan sepenuhnya daripada pengundi untuk pastikan kemenangan PN.”


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo